Amanah Cadang Faiz Fadzil Ganti Kekosongan Exco Penang

Amanah Cadang Faiz Fadzil Ganti Kekosongan Exco Penang

Amanah Pulau Pinang mencadangkan agar Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil dilantik sebagai exco negeri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Adun Seberang Jaya Afif Bahardin dari PKR.

Pengerusi Amanah Pulau Pinang Dr Roslan Ahmad dalam kenyataan media hari ini berkata pihaknya yakin dengan kemampuan Faiz.

“Kami berkeyakinan atas kemampuan dan kebolehan, serta latar belakang profesional dan pengalaman beliau akan memberikan satu kesan yang amat positif dalam membantu pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan ketua menteri dalam menjayakan Wawasan Penang 2030.

“Amanah telah membuktikan bahawa kami adalah rakan yang setia kepada Pakatan Harapan dalam menghadapi krisis politik baru-baru ini di peringkat persekutuan.

“Kami akan terus menjadi rakan yang setia di peringkat negeri bagi memastikan keutuhan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang,” katanya.

Untuk rekod, Faiz merupakan seorang peguam dan anak kepada bekas presiden PAS, Allahyarham Fadzil Noor.

Terdahulu, Afif, yang dilihat merupakan antara penyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, meletakkan jawatan sebagai exco Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini.

Tindakan itu dibuat setelah beliau mendapat surat tunjuk sebab daripada PKR atas dakwaan mensabotaj parti dalam kongres parti itu Disember tahun lepas.

Peletakan jawatan itu disahkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Afif, bekas ketua Pemuda PKR itu bagaimanapun kekal sebagai anggota parlimen Seberang Jaya – yang disandangnya selama dua penggal.

Dalam sidang medianya, Afif berkata beliau dinasihatkan meletakkan jawatan atas tekanan pihak dalam PKR yang tidak senang dengan sokongannya terhadap Azmin sebelum ini.

Minggu lalu, Azmin mengetuai 10 ahli parlimen meninggalkan PKR dalam gerakan untuk menumbangkan PH dan menubuhkan kerajaan gabungan baru bersama Bersatu, BN dan PAS.