Aliran wang haram keluar, Najib pertahan GST sebagai penyelesaian

Datuk Seri Najib Razak menempelak Pakatan Harapan (PH) kerana masih memainkan isu aliran keluar dana haram untuk menipu rakyat sedangkan pada masa sama PH yang memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Bekas perdana menteri itu berkata, GST adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Tanpa GST, kerajaan tidak lagi berupaya untuk mengurangkan cukai pendapatan atau korporat dan ini akan memberi kesan buruk kepada daya saing negara ini sebagai tumpuan perniagaan dan pelaburan.

Aliran wang haram keluar, Najib pertahan GST sebagai penyelesaian

Najib Razak.

”Mengurangkan kadar cukai korporat juga penting dalam menangani masalah pengaliran keluar dana haram di mana ia sudah pun menjadi satu masalah kepada negara sebelum saya dilantik sebagai menteri kewangan atau perdana menteri,” jelas Najib.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memetik memetik laporan institusi dari Washington DC “Global Financial Integrity” berhubung aliran keluar dana tidak sah dari Malaysia.

Ketua Pembangkang itu didakwa memetik laporan tersebut untuk memberi gambaan seolah-olah ratusan bilion ringgit telah dicuri dan dibawa lari keluar dari Malaysia oleh ahli politik dan penjenayah.

”Ianya adalah sangat ironi bahawa PH yang memainkan isu aliran keluar dana haram ini untuk menipu rakyat tapi PH juga yang memansuhkan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini.

”Lagi kelakar ialah hari ini juga mereka masih tidak berasa kesal atau malu untuk gunakan isu ini untuk terus menipu rakyat,” tegas beliau.

Sambil memberi contoh, Najib berkata, pada tahun 2004 dan 2005, sebanyak 21.2 peratus dan 24.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini hilang ekoran pengaliran keluar modal tidak sah ke negara-negara jiran.

Ini adalah satu jumlah yang besar kerana Malaysia tidak menerima sebarang manfaat, malah tidak boleh mengenakan cukai namun dinikmati negara lain.

Tambah beliau, sebanyak 80 peratus daripada pengaliran modal tidak sah ini adalah ekoran harga tidak betul dalam perniagaan dan berikutan perbezaan cukai korporat antara negara.

Sebagai contoh, sebuah pengilang berpusat di Malaysia yang mana cukai korporat adalah 28 peratus boleh menjual barangan mereka secara murah kepada syarikat pengedar dimiliki mereka, dengan kadar cukai adalah 17 peratus.

Dengan berbuat demikian, pengilang itu dapat mengelak daripada membayar cukai yang banyak tetapi negara lain dapat mengutip cukai yang sepatutnya hak negara ini.

”Berikutan pemantauan yang lebih ketat dan pengurangan secara berperingkat cukai korporat ketika saya menjadi perdana menteri, pengaliran keluar modal tidak sah ini telah berkurangan sebanyak 10.5 peratus daripada KDNK bagi angka terakhir yang diperolehi bagi 2014 ataupun AS$35.5 bilion (RM143.8 billion) pada tahun itu, di mana ia adalah satu penurunan yang besar berbanding 25.6 peratus sebelum ini.

”Masalah aliran keluar kewangan secara haram ini melibatkan jumlah beratus-ratus bilion.

”Sistem pengawasan yang lebih baik di bawah GST selain kemampuan untuk mengurangkan cukai korporat turut mengurangkan pengaliran keluar modal tidak sah. Namun, kita bakal kehilangan keupayaan ini tak lama lagi,” ujar beliau.

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/10/09/ironinya-ph-yang-mansuhkan-gst-najib/

BACA JUGA : Terkini !!! 89.4 peratus individu dewasa kini lengkap vaksin

COMMENTS

Wordpress (0)