Ali XPDC alami lemah jantung, masih lemah

Ali XPDC alami lemah jantung, masih lemah. Vokalis Kumpulan XPDC, Ali, 53, masih dalam keadaan lemah selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) sejak kelmarin.

Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail kini bergelut dengan masalah jantung tersumbat dan mengalami semput, sejak hampir seminggu lalu.

“Keadaan kesihatan saya belum stabil dan masih lemah. Doktor mengatakan saya perlu banyak berehat.

“Terima kasih diucapkan kepada mereka yang mengambil berat dan bertanya khabar. Allah uji dengan kesakitan tanda sayangkan kita. Jadi, saya reda dengan ujian ini.

“Yang baik daripada Allah, perkara buruk saya sendiri. Apa yang utama, soal kesihatan tidak boleh dibuat main dan perlu ada ikhtiar menjaga kesihatan,” katanya kepada BH Online.

Ali berkata, ini bukan kali pertama diserang penyakit jantung. Awal tahun ini, pernah dikejarkan ke sebuah hospital di Shah Alam akibat masalah sama.

Ali

“Saya memang ada penyakit jantung dan darah tinggi. Doktor memaklumkan, ia menjadi punca serangan hingga melarat hingga saluran pernafasan.

“Saya pula tidak menjaga atau mengambil berat pengambilan ubat. Saya fikir mudah.

“Saya jenis degil tidak mahu mendapat rawatan di hospital atau klinik apabila sakit. Soal degil ini memang tidak boleh dibawa berbincang,” katanya.

Kata Ali lagi, doktor masih terus membuat rawatan susulan dari semasa ke semasa.

“Keadaan saya masih dipantau. Jika hari ini sudah okay, mungkin esok sudah boleh keluar hospital.

“Jika tidak, kenalah bermalam lagi,” katanya.

Ali mengakui, dia tolak ketepi rasa malu apabila terpaksa minta bantuan membeli barangan keperluan akibat terkesan pandemik COVID-19.

“Secara jujur, saya sudah lama terputus rezeki dan sampai tahap, tidak tahu bagaimana mencari jalan penyelesaian.

“Saya bukannya suka meminta-minta, tetapi keadaan memaksa saya menebal muka minta pertolongan. Alhamdulillah, saya bersyukur perkongsian dalam media sosial disedari rakan yang tidak lokek menghulurkan bantuan.

“Hanya Allah sahaja yang dapat membalas kebaikan mereka,” kata bapa kepada lima cahaya mata itu.

Pada Mac tahun lalu, Ali melecur 30 peratus di tangan dan muka selepas disambar api ketika membakar sampah di rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Klang.

Bagaimanapun, Ali memaklumkan, keadaannya sudah pulih sepenuhnya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2021/09/859752/ali-xpdc-masih-lemah-alami-lemah-jantung

BACA: PH cadang agar Khairy ‘reset’ kembali cara pengurusan pandemik