Hati lelaki manakah tidak luluh apabila isteri disayanginya pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya sejurus melahirkan anak sulung yang diimpikan selama ini.
Itulah ketentuan Ilahi yang terpaksa diterima oleh seorang suami sebaik sahaja bayi perempuan dilahirkan isterinya dengan penuh perjuangan itu dihulur ke pangkuannya.
Sedang belajar untuk reda, berikut perkongsian daripada lelaki terbabit yang masih merasakan kehadiran isterinya meski wanita itu sudah meninggal dunia pada Januari lalu.
“Izinkan untuk berkongsi pengalaman pahit yang aku masih belajar terima dan reda di atas ketentuan Tuhan. Pada penghujung tahun 2021,
aku teringin nak memegang gelaran sebagai seorang suami. Tak sangka pula aku akan mendirikan rumah tangga dengan seorang perempuan yang disukai dalam diam sejak di alam universiti.
“Aku kenal isteri ketika dia datang menyokong rakan sekelasnya di dalam perlawanan bola mewakili universiti. Aku pula sepasukan dengan rakan kelasnya. Kehadirannya di tepi padang buatkan aku lagi bersemangat untuk mengenali insan bernama ‘Nur Seri Dahlia’. Itu cerita enam tahun lepas sebelum aku mengenali Seri iaitu isteriku.
“Ringkaskan cerita, kami berdua mulalah berkawan dan mengenali antara satu sama lain. Tak lama kemudian, kami ke alam pekerjaan. Ketika itu jugalah aku mengatakan hasrat untuk mengenali Seri dengan lebih mendalam. Isteri aku tinggi orangnya. Aku memang rasa cemburu kalau orang lain memandang kecantikkan dia waktu itu.
“Aku juga tiada apa-apa ketika itu. Pendek cerita, aku meluahkan kepada Seri hasrat untuk jadikan dia isteri. Dia bersetuju dan kami mula berkenalan dengan lebih rapat. Tak lama kemudian, Seri juga bersetujulah untuk bertunang dan seterusnya menikah. Kami disatukan sebagai suami dan isteri pada penghujung tahun 2021.
“Faham tak perasaan seronoknya apabila berkahwin dengan perempuan yang betul-betul kau cinta dan sayang. Allah sahaja yang tahu. Kami membuat keputusan untuk duduk bersama pada awal tahun 2022. Bermulalah pelayaran bahtera perkahwinan aku dengan Seri yang cukup indah dan juga sempurna.
“Tiada langsung kekurangan di dalam diri Seri. Serba-serbi sempurna dengan penuh kebahagiaan. Sebelum berkahwin, aku ada jujur dengan isteri yang diri ini tak berapa mahir dalam ilmu agama apatah lagi mengaji. Jawapan dia ringkas, ‘Tak apa, benda boleh belajar’. Cukup setahun sahaja dia membimbing aku.
“Aku sudah boleh membaca kitab Al-Quran tanpa gagap. Syukur Alhamdulillah, isteri adalah wanita yang sempurna bagiku. Cukup sempurna. Tiada kekurangan yang aku nampak. Terfikir juga kalaulah suatu hari nanti aku kehilangan Seri, sudah pasti dunia ini akan menjadi gelap gelita tanpa cahaya bagiku.
“Pada Jun 2023, kami diberikan rezeki yang tidak pernah dirancang. Tetapi ia sudah menjadi ketentuan Tuhan untuk memberikan rezeki tepat pada masa-Nya. Isteri sah mengandung empat minggu. Indahnya dunia ketika itu menjadi sinaran dalam rumah tangga kami. Sungguh indah waktu itu. Aku menjaga dia dengan baik.
“Pada masa yang sama, aku juga diberi rezeki dinaikkan pangkat menjadi Penolong Pengurus di sebuah syarikat. Ini semua adalah rezeki isteri dan juga anak. Aku hanya menumpang sahaja. Lama-kelamaan, Seri menjadi tidak bermaya untuk bekerja. Aku suruh dia berhenti, duduk sahaja di duduk rumah. Tetapi dia tak setuju.
“Sebabnya gaji aku sahaja tidak cukup kalau duduk dekat Lembah Klang. Isteri tetap nak bantu aku tetapi kasihan jugalah dengan dia. Selepas berbincang, aku akhirnya bersetuju. Cuma kali ini aku letakkan syarat kena hantar dan ambil dia balik daripada kerja. Hari demi hari, aku nampak Seri membawa beban yang berat.
“Tetapi isteri tetap nak bekerja. Sedih aku, sampai menangis dalam kereta sebelum nak ambil dia. Enam bulan kemudian, kami dapat tahu bahawa jantina anak adalah perempuan. Syukur kami dikurniakan anak perempuan. Gembira tidak terhingga. Aku menyatakan hasrat untuk meletakkan permulaan nama anak dengan ‘Seri’ juga.
“Sebab bagi aku, nama itu cukup indah. Seri hanya senyum bersetuju. Kami menjaga kandungan dengan baik sehinggalah awal bulan januari 2024. Bayi yang aku berikan nama Seri Dalila selamat dilahirkan tetapi isteri, Seri Dahlia tidak dapat diselamatkan disebabkan atas faktor pendarahan yang teruk selepas bersalin.
“Hadir orang baru tetapi perginya insan yang paling aku sayang. Luluh hati, terduduk aku mendukung Seri. Langsung tidak menjangka perkara seperti ini akan terjadi pada diri aku. Tuhan beri Seri yang baru dan ambil Seri yang sangat aku cintai. Keesokkan harinya, kami sekeluarga melaksanakan pengembumian Seri.
“Anak kami berada di hospital untuk memantau sakit kuningnya. Aku juga berpeluang untuk membaca talkin ‘Wahai isteriku…’ dan sebak itu masih terasa hingga ke hari ini. Alhamdulillah, isteri aku selamat dikebumikan dengan lancar bersama keluarga dan sanak saudara. Hujan renyai menemani pemergian Seri di tanah perkuburan.
“Aku kuat untuk menjaga dan membesarkan Seri. Kadang-kadang isteri aku hadir di dalam mimpi bertanyakan khabar. Kerap juga aku tanya ustaz dan meminta mereka untuk mentafsirkan mimpi ini. Jawapan mereka sama sahaja iaitu Seri merindui dan memerlukan kiriman daripada suaminya.
“Bersyukur juga sejak awal bulan Januari sehinggalah kini, aku mampu menjaga Seri seorang diri. Dia tidak menunjukkan ragam. Cuma seminggu dua belakangan ini, aku dapat rasakan keberadaan Seri iaitu isteriku di dalam rumah. Aku ada juga terdengar suara perempuan yang mengingatkan aku, ‘Buatkan susu Seri’.
“Kadang-kadang apabila buaian tidur Seri (anak aku) sudah berhenti, maknanya dia sedang tidur nyenyak. Jadi aku tinggalkan untuk membuat kerja lain. Tetapi tak lama kemudian, buaian tersebut bergerak sendiri dan Seri (anak) terjaga. Agak kerap juga terjadi perkara tersebut. Kadang-kadang tin susu anak juga teralih.
“Banyak kejadian yang menjadi persoalan. Adakah roh isteri memang berada dalam rumah atau aku sendiri yang tak boleh terima pemergian Seri? Mungkinkah aku yang tidak reda dengan ketentuan Tuhan? Aku nak Seri ada dan menjaga anak kami tetapi masalahnya, dia sudah meninggal dunia. Atau sebenarnya aku tidak waras?
“Aku tidak takut apabila Seri (isteri) hadir dan langsung tidak anggaplah ia makhluk yang nak menganggu kami berdua. Tetapi kenapa dia masih hadir dalam hidup aku? Adakah aku merindukan Seri? Maaf semua. Ini hanyalah luahan mengenai kejadian yang telah atau sedang aku lalui. Aku tidak meminta raih simpati.
“Tolong beritahu, apakah yang perlu dilakukan untuk reda dengam pemergian isteri tetapi pada yang sama aku tak nak lupakan Seri buat selama-lamanya. Insya-Allah, aku akan rujuk juga dengan ustaz atau yang lebih pakar. Jika mengambil orang gaji atau menghantar anak ke kampung adalah jalan penyelesaian, aku sanggup.
“Berat ujian aku apabila perginya seorang isteri. Susah nak diceritakan. Doakan aku selamanya kuat. Terima kasih kerana memberi ruang.” Kongsi lelaki berkenaan tanpa mendedahkan identitinya menerusi satu hantaran di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) melalui akaun Detik Seram.
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio