Aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan pematuhan SOP – MKN

Aktiviti ziarah kubur di setiap negeri dibenarkan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun orang ramai perlu mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, pihaknya tidak menetapkan sebarang SOP khusus kepada orang ramai untuk menziarahi tanah perkuburan.

“Sebelum ini, kita ada mewujudkan SOP ziarah kubur, namun ia dikaitkan ketika musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha.

Aktiviti ziarah kubur dibenarkan dengan pematuhan SOP

Rodzi.

“Dalam keadaan luar perayaan pula, aktiviti ziarah kubur sebenarnya tidak menjadi satu isu dan dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut beliau, keutamaan terhadap pematuhan SOP merupakan perkara yang perlu diberi tumpuan sekiranya orang ramai mahu menziarahi perkuburan.

“Paling penting, ketika ziarah kubur, orang ramai perlu memastikan penjarakan fizikal satu meter diamalkan dan pemakaian pelitup muka dilaksanakan selain menjaga kebersihan seperti kerap mencuci tangan.

“Jadi, aktiviti ziarah kubur dibenarkan dan ia mestilah tertakluk kepada SOP am yang diterbitkan kerajaan dari masa ke semasa,” ujarnya.

Terdahulu, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi kubur ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Kawah di Temerloh, Pahang mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Rata-rata mereka mempersoalkan mengenai kebenaran menziarahi tanah perkuburan memandangkan Pahang masih lagi berada di Fasa 2 PPN.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/08/28/ziarah-kubur-dibenarkan-perlu-ikut-sop/

BACA JUGA : Pilih Kasih : Orang ramai bengang tengok PM ziarah kubur