Aktiviti korek pasir jadi punca krisis bekalan air Terengganu – Exco

Aktiviti korek pasir jadi punca krisis bekalan air Terengganu. Krisis gangguan bekalan air yang melibatkan 28,700 akaun di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Ogos hingga awal bulan ini, berpunca daripada hakisan sepanjang 80 meter di bawah paip yang dipasang di dasar Sungai Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata hasil maklumat daripada syarikat kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembaikan, mendapati paip tersebut telah hilang sokongan dan tergantung di dasar sungai sehingga berlakunya kebocoran.

“Projek pemasangan paip dilaksanakan pada 2003 dan siap pada 2006. Pada waktu itu paip ini ditanam sekitar antara 1.5 meter hingga dua meter dalam tanah tetapi apa yang berlaku pada tahun ini, selepas siasatan (mendapati) paip hilang sokongan atau terhakis pada jarak 80 meter,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Aktiviti korek pasir jadi punca krisis bekalan air Terengganu - Exco

Mamad berkata, ketika permohonan menyedut pasir diluluskan sebelum ini, tiada makluman yang menyatakan terdapat paip air ditanam di kawasan berkenaan.

Beliau menjawab soalan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) yang bertanyakan mengenai laporan kebocoran paip air di dasar Sungai Terengganu yang berlaku pada awal Ogos lepas.

Krisis gangguan bekalan air di dua daerah itu berlaku pertama kali pada 2 Ogos lepas berpunca daripada paip bersaiz 1.2 meter pecah di dasar Sungai Terengganu dan bekalan air bersih pulih secara berperingkat pada 13 Ogos.

Bagaimanapun, gangguan sama berulang apabila paip yang dibaiki patah semula di lokasi berlainan 10 hari kemudian (23 Ogos) dan bekalan air kembali pulih pada Khamis (9 Sept).

Dalam pada itu Dr Mamad berkata dalam tempoh 10 tahun sebanyak 12 pengusaha pasir telah diberi kelulusan untuk menjalankan aktiviti mengorek pasir pada jarak kira-kira 5 kilometer daripada kawasan paip tersebut dipasang.

“Daripada jumlah itu sebanyak tujuh pengusaha pasir masih aktif sehingga diarahkan berhenti beroperasi selepas berlakunya krisis bekalan air bulan lepas,” katanya sambil memaklumkan siasatan penuh mengenai punca kerosakan paip tersebut, yang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas, akan siap pada 24 Sept ini.

Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan ketika permohonan menyedut pasir diluluskan sebelum ini, tiada makluman dari mana-mana agensi kerajaan yang menyatakan bahawa terdapat paip air ditanam di kawasan berkenaan.

“Apabila ada permohonan tanah atau urusan pasir, ada ulasan dari agensi-agensi kerajaan tetapi pada waktu itu tidak ada satu pun agensi yang menyatakan di sana ada paip, seolah-olah tidak wujud paip di dasar sungai, itu yang menjadi masalah,” katanya.

Ketika ditemui di luar dewan, Dr Mamad berkata kerajaan negeri akan mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk menyimpan semua maklumat mengenai paip-paip yang terdapat di dasar sungai di seluruh Terengganu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/krisis-bekalan-air-terengganu-berlaku-hakisan-sepanjang-80-meter-di-bawah-paip-319658

BACA JUGA : MoU kerajaan-PH beri keyakinan kepada pelabur asing