Aktiviti Aidiladha faktor kenaikan kes di Terengganu – MB

Aktiviti Aidiladha faktor kenaikan kes di Terengganu – MB

Aktiviti Aidiladha faktor kenaikan kes di Terengganu.

Majlis keraian yang dijalankan secara sembunyi oleh masyarakat merupakan antara faktor peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di Terengganu, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, peningkatan kes turut disumbangkan oleh aktiviti penduduk yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa sambutan Aidiladha, baru-baru ini.

aidiladha

“Termasuklah aktiviti merentas negeri dan daerah semasa perayaan (Aidiladha) walaupun ia tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya.

Semalam, Terengganu merekodkan peningkatan mendadak kes harian baharu positif COVID-19 iaitu sebanyak 883 kes melibatkan 860 kes penularan tempatan, sekali gus mencatatkan angka tertinggi yang direkodkan sejak pandemik itu melanda.

Selain itu Ahmad Samsuri berkata, peningkatan kes turut disebabkan saringan kontak rapat dan saringan bersasar yang dijalankan di beberapa lokaliti di seluruh negeri ini, serta kewujudan kes-kes bergejala berpunca daripada penularan yang pantas dalam komuniti.

“Terdapat juga kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster antara mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama pihak penguat kuasa pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, akan memperhebatkan aktiviti kawalan dan saringan kontak rapat serta saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenal pasti.

“Susulan daripada aktiviti pengesanan ini kita menjangkakan peningkatan kes dalam masa dua minggu akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan berusaha memohon penambahan vaksin supaya proses vaksinasi di kawasan kritikal yang mencatatkan bilangan kes yang tinggi, terutama di Kemaman dan Dungun, dapat dipertingkat dengan kadar segera.

Beliau turut meminta seluruh rakyat Terengganu supaya terus mematuhi SOP bagi mencegah penularan COVID-19 walaupun negeri ini telah berada dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Berita Penuh : https://malaysiagazette.com/2021/08/01/covid-19-majlis-keraian-aktiviti-semasa-aidiladha-antara-faktor-peningkatan-mendadak-kes-di-terengganu/

BACA JUGA : Panas !!! Ismail Sabri sahkan surat 40 Ahli Parlimen BN termasuk Najib sokong Muhyiddin