Akibat pencemaran, bekalan air Lembah Klang dijangka terganggu 4 hari lagi

Akibat pencemaran, bekalan air Lembah Klang dijangka terganggu 4 hari lagi

Gangguan bekalan air membabitkan hampir 1.2 juta akaun di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang ketika ini, dijangka berterusan sekurang-kurangnya empat hari lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, berkata ia berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang hanya boleh kembali beroperasi jika tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

Setakat jam 2.30 petang hari ini, katanya, pencemaran masih dikesan di muka sauk loji berkenaan dan berada pada tahap 1 TON.

“LRA Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 hanya akan mula beroperasi jika bacaan 0 TON diperoleh tiga kali berturut-turut. Ujian bacaan tiga kali ini dibuat setiap 30 minit antara satu bacaan.

“Apabila LRA ini mula beroperasi, pengguna akan mula menerima bekalan air paling kurang dalam tempoh empat hari,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Air Selangor di sini, hari ini.

Semalam, sebanyak 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi semalam berikutan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas disebabkan berlaku pencemaran air mentah di kawasan Sungai Gong.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian, dilaporkan berkata, siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang menjadi punca pencemaran itu.

Kilang itu yang sudah disita, pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini tetapi masih mengulangi kesalahan berkenaan.

Berdasarkan bacaan pencemaran ketika ini yang turun kepada 1 TON daripada 3 TON semalam, Suhaimi yakin bacaan 0 TON tiga kali berturut-turut dapat diperoleh secepat mungkin, namun enggan memberi jangkaan sama ada bacaan selamat itu dapat diperoleh hari ini.

Beliau menegaskan, Air Selangor memandang serius isu pencemaran itu yang kini sudah menyebabkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang ditutup sehingga 30 jam setakat ini.

Untuk perbandingan, katanya, penutupan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dua kali selama 10 jam pada Julai tahun lalu akibat pencemaran bau dan pencemaran diesel, menyebabkan gangguan bekalan air sehingga tujuh hari.

“Saya membandingkan dengan kes lalu supaya pengguna faham magnitud penutupan ini. Saya bimbang pengguna tidak menyedari magnitud pencemaran kali ini. Ini adalah masalah yang besar,” katanya.

Suhaimi berkata, bantuan bekalan air giat diagihkan melalui lori tangki dan pengguna disaran mendapatkan bekalan air melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

Katanya, lokasi pili awam juga ditambah dari semasa ke semasa bagi membantu pengguna mendapatkan bekalan air alternatif.

“Air Selangor akan mengemas kini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.

“Pengguna juga digalak memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/09/727876/gangguan-bekalan-air-dijangka-berlarutan-4-hari?

COMMENTS