Akibat Najib terima ‘derma’ dari Arab Saudi

Akibat Najib terima ‘derma’ dari Arab Saudi

Datuk Najib telah menyatakan di mahkamah beliau tidak mahu menerima derma dari orang tempatan kerana tidak mahu terikat atau terhutang budi kepada orang tempatan.

Beliau rasa lebih baik terima derma dari orang negara asing seperti dari Arab Saudi.

Sebenarnya, implikasi dan kesan yang lebih dahsyat mungkin telah berlaku apabila Datuk Najib menerima ‘derma’ dari Arab Saudi.

Saya telah bertanya berkali-kali di Parlimen sebelum PRU-14, kenapa Malaysia, negara Asia tunggal, terlibat dengan latihan perang ‘Northern Thunder’ di Arab Saudi tanpa jawapan yang munasabah.

Saya juga menyoal berkali-kali, kenapa Malaysia terlibat dan bersubahat dalam coalition Arab Saudi dan kuasa besar Barat dalam perang Yaman? Sekali lagi tiada jawapan munasabah diberi .

Kerana terhutang budilah agaknya tentera Malaysia secara senyap-senyap telah bergiat aktif bersama Arab Saudi, Amerika, Britain dan Perancis dalam perang Yaman.

Beribu-ribu rakyat Yaman tidak berdosa yang tua, muda dan anak kecil terbunuh akibat serangan sekutu Arab Saudi.

Tidak ada sebab dan logik kenapa Malaysia perlu terlibat dalam sekutu tersebut seperti disebut dalam laporan terperinci kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Kenapakah Datuk Najib beriaia sangat bersama Arab Saudi menyerang Yaman kalau tidak ada udang sebalik batu ?

Sikap tidak mahu terhutang budi pada sesiapa dalam Negara memang baik. Tetapi apabila menerima beratus juta “derma” dari Negara asing Arab Saudi apabila Najib adalah Perdana Menteri Malaysia, itu adalah langkah amat berbahaya.

Mengapa tentera Malaysia membantu Arab Saudi dalam perang dengan negara kecil Yaman yang tidak ada kena mengena dengan hal ehwal Malaysia? Sehingga hari ini masih tidak ada jawapan!

Kenyataan Datuk Najib di mahkamah yang tidak mahu menerima derma dari sumber tempatan, walhalwang diterima adalah dari sumber luar negara menggambarkan betapa maruah serta keselamatan Malaysia mungkin tergadai.

Ini bukanlah perbuatan seorang pemimpin negara yang bertanggungjawab, tetapi seorang yang hanya memikirkan kepentingan parti dan dirinya sendiri sahaja sehingga negara terdedah kepada risiko tinggi dan tergadai maruahnya.

* Penulis merupakan Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Berita Asal https://malaysiadateline.com/akibat-najib-terima-derma-dari-arab-saudi/