Akibat berang, penduduk bakar penghadang dan kawat duri ‘laluan tikus’

Akibat berang, penduduk bakar penghadang dan kawat duri ‘laluan tikus’

Akibat terlalu marah laluan tikus ditutup, segelintir penduduk bertindak liar dengan membakar penghadang dan kawat duri yang telah didirikan oleh pihak polis.

Perbuatan khianat itu dikesan di Kampung Gong Lapang, Besut kira-kira jam 9.30 pagi pada Ahad.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, masyarakat seharusnya memahami pentingnya untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19 apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bagaimanapun ada masyarakat yang tidak mengambil endah dengan arahan yang telah dikuatkuasakan.

Katanya ianya terbukti dengan sikap tidak bertanggungjawab dengan merosakkan penghadang dan kawat duri yang telah dibuat di sempadan Besut, Terengganu dan Pasir Putih, Kelantan.

Tindakan itu, jelasnya, seperti memberontak kerana “laluan tikus” yang biasa mereka lalui telah pun ditutup sepenuhnya di sempadan antara kedua negeri itu.

Susulan itu Roslee berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bersama Jabatan Kerja Raya telah meletakkan penghadang batu bagi memastikan laluan ini tidak dialihkan pada masa akan datang.

Katanya pihaknya juga sedang giat memburu individu yang melakukan perbuatan khianat berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Justeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dgn kejadian merosakkan harta kerajaan, boleh terus menghubungi bilik gerakan IPD Besut di talian 09-6959999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- Awani

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/137887/BERITA/Semasa/Marah-laluan-tikus-ditutup-penduduk-bakar-penghadang-kawat-duri?