Akhirnya Speaker Dewan Rakyat buka mulut jawab pengkritik…

Akhirnya Speaker Dewan Rakyat buka mulut jawab pengkritik…

SETELAH sekian lama berdiam diri apabila sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang mendesak supaya Dewan Rakyat bersidang semula, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tampil menyelar pengkritik.

Menurut Azhar Azizan dalam portal MalaysiaNow, ramai pengkritik darurat bersikap memilih bulu mempertahankan Perlembagaan demi mendapatkan keuntungan politik.

Kata beliau, walaupun doktrin pemisahan kuasa antara ketiga-tiga institusi iaitu kerajaan, Parlimen dan badan kehakiman tidak pernah dilaksanakan secara total di mana-mana negara, namun konsep pembahagian kuasa di antara ketiga-tiganya adalah prinsip undang-undang yang mesti dilaksanakan.

Azhar Azizan malah memberi maklum balas terhadap dakwaan pengkritik kononnya kerajaan tersilap dalam isu penangguhan Parlimen dengan menyatakan adalah biasa bagi ketiga-tiga institusi pentadbiran untuk campur tangan antara satu sama lain.

Sebagai contoh, kata Azhar Azizan, Parlimen yang mengesahkan undang-undang menyatakan sesiapa memiliki sejumlah dadah terlarang akan dianggap sebagai pengedar.

“Peruntukan ini melenyapkan kuasa Mahkamah untuk menentukan sama ada dia sebenarnya atau dalam undang-undang memang pengedar atau bukan. ‘Campur tangan’ Parlimen itu sah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Baca artikel berkaitan: Terus gesa Parlimen bersidang, Azalina beri cadangan SOP

“Kita tidak boleh bersikap memilih dengan hanya menerima apa sahaja yang menguntungkan kita, namun bersikap keras apabila sesuatu tindakan tersebut tidak memenuhi kepentingan serta hasrat kita,” kata beliau dalam portal berkenaan hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar Azizan turut membidas pandangan bahawa kerajaan tidak berhak menghentikan persidangan Parlimen kerana ia mesti dibahaskan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Darurat dan ordinan yang diumumkan setakat ini adalah tindakan yang diambil berdasarkan sumber undang-undang spesifik iaitu di bawah dan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

“Ia disahkan oleh prinsip undang-undang dan boleh dikuatkuasakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sama seperti kuasa Mahkamah yang boleh membatalkan beberapa tindakan oleh Eksekutif.

“Sama ada kita suka atau tidak, itu adalah kuasa Kabinet atau eksekutif dan kuasa itu digunakan,” jelas beliau.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sekali lagi menggesa kerajaan membenarkan sidang Parlimen dengan menyertakan cadangan terperinci prosedur operasi standard (SOP).

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata kerajaan tidak boleh melakukan proses lockdown ke atas proses demokrasi kerana itu hanya akan menafikan hak rakyat.

Azalina turut meluahkan kekecewaan susulan tiada tindakan daripada pihak kerajaan berkaitan persoalan mengenai Parlimen yang dibangkitkannya beberapa bulan lalu.

Parti politik termasuk UMNO yang ketika ini berada dalam kerajaan Perikatan Nasional turut mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.

Ia juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat dan desakan beberapa pimpinan tertinggi UMNO termasuk Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Berita Penuh :https://utusantv.com/2021/05/30/pengkritik-pilih-bulu-demi-kepentingan-politik-azhar-azizan/