Akhirnya parlimen dibuka untuk proses semak dan imbang

Akhirnya parlimen dibuka untuk proses semak dan imbang

Pembukaan persidangan Parlimen adalah bagi memudahkan proses semak dan imbang yang merupakan sebahagian tanggungjawab Ahli Parlimen.

Menurut penganalisis politik, Mujibu Abd Muis langkah berkenaan itu turut diambil untuk memudahkan urusan kerajaan perundangan dalam negara.

Walaubagaimanapun, isu majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN) antara perkara yang dijangka akan dibangkitkan sekiranya Dewan Rakyat dibenarkan bersidang kelak.

Mujibu turut berkata isu tersebut menjadi perkara asas kepada mana-mana negara yang melaksanakan demokrasi berparlimen.

“Namun, dalam konteks demokrasi berparlimen juga, hal yang berkaitan dengan majoriti ini perlu diselesaikan kerana ia adalah asas kepada ‘rule of the game’ kepada demokrasi berparlimen,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Istana Negara pada Rabu yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Mujibu berkata soal sokongan majoriti kerajaan PN perlu diselesaikan dengan cara yang baik menerusi Parlimen, atau ia mungkin mengheret negara ke Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sudah tentu bukan sahaja Ahli Parlimen mahu menyelesaikan perkara ini, kita sebagai rakyat juga mahu melihat ini boleh diselesaikan dengan cepat dan baik sekiranya memerlukan penyelesaian di Parlimen.

“Terdapat kemungkinan juga isu ini akan dibawa kepada PRU yang baharu.

“Ini persoalan-persoalan yang mungkin dilihat selepas Parlimen dibenarkan bersidang kelak,” katanya.

Pada Januari lalu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan ke atas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang kekal dalam blok Barisan Nasional (BN) tidak pernah memberi sokongan kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/parlimen-itu-dibuka-bagi-memudahkan-perjalanan-proses-semak-dan-imbang-284538