Ajaran PMYT dalam proses diwartakan sesat – Timb Menteri

Ajaran PMYT dalam proses diwartakan sesat.Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan berbincang dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama (MKI) dalam usaha mewartakan ajaran menerusi mimpi dipelopori wanita dikenali sebagai “Sittah Annur” sebagai sesat.

Wanita berusia 39 tahun itu didakwa mula mengembangkan ajaran “Perjalanan Mimpi Yang Terakhir” (PMYT), dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata pihaknya akan memanggil wanita terbabit dan pengikutnya untuk mengetahui sama ada ajaran mereka menyeleweng atau tidak.

Bagaimanapun, katanya tindakan lanjut terhadap ajaran itu tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri kerana ia adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Denda dan hukuman tidak sama untuk setiap negeri. Walau apa pun, kita tetap memandang serius perkara ini.

Ajaran

“Sekarang, soal keselamatan perlu diberi keutamaan dan mereka yang terbabit serta pengikutnya akan dikenakan tindakan bersesuaian mengikut bidang kuasa bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dilapor mengarahkan polis mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam termasuk wanita berkenaan dan pengikutnya.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah, sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Ahmad Marzuk berkata, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) setakat ini sedia maklum dengan gerakan ajaran itu menyerahkan kepada polis membuat siasatan.

“Siasatan sudah dijalankan dan buat masa ini jumlah pengikut ajaran ini belum diterima secara tepat daripada pihak Bukit Aman.

“Susulan penyiasatan itu nanti, kami akan melihat apa ruang yang boleh dibantu bagi menyelesaikannya kerana ia membabitkan dua isu utama iaitu terbabit dengan ajaran sesat dan juga keselamatan negara,” katanya.

Berita penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/04/ajaran-pmyt-dalam-proses-diwarta-sesat-kata-timbalan-menteri/

BACA: Ahli arkeologi dakwa jumpa harta milik Nabi Sulaiman