Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia berikrar untuk terus membantah caj perkhidmatan penumpang (PSC) tambahan dikenakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi penumpang yang melakukan perjalanan di luar ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata AirAsia yang ditubuhkan 18 tahun lalu telah menjadikan ASEAN sebagai tempat yang lebih kecil dan “semua orang boleh terbang” berikutan tambang rendahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata PSC yang dikenakan oleh MAHB daripada RM50 hingga RM73 seorang untuk penumpang yang membuat perjalanan di luar ASEAN adalah tidak adil dan membebankan penumpang.
“Kami akan terus berjuang bagi kebebasan untuk terbang … Pengendali lapangan terbang harus membantu kami untuk memastikan perjalanan lebih murah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Fernandes menghadiri majlis pelancaran rekaan corak luaran terbaharu bertemakan “ASEAN Sustainable” (ASEAN Lestari) pada pesawat terbaharunya, Airbus A320 bersempena sambutan Hari ASEAN di Bangkok.
Bermula hari ini, AirAsia mula mengutip PSC yang dikenakan oleh MAHB dan penumpang perlu membayar caj tambahan RM23 untuk penumpang yang melakukan perjalanan di luar ASEAN daripada RM50 hingga RM73 seorang.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan AirAsia dan AirAsia X bagi membatalkan pembayaran PAC yang tertunggak kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB), anak syarikat MAHB.
Satu petisyen telah dilancarkan bagi membantah PSC hari ini.
Fenandes berkata pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan memainkan peranan penting untuk memastikan kebebasan untuk terbang.
AirAsia berkata PSC yang tinggi menjejaskan pelancongan, menghalang pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Malaysia kurang tarikan kepada pelawat berbanding destinasi lain.
BERNAMA