Air mata Rosmah tumpah di mahkamah

Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu senyap seketika apabila Datin Seri Rosmah Mansor menangis semasa memberi keterangan dalam kes rasuah projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri bekas Perdana Menteri itu gagal menahan sebak ketika ditanya peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader mengenai pihak pendakwaan mengaitkannya dengan sikap ‘mendominasi’ dan ‘mempengaruhi’ seseorang.

Rosmah, 69, berkata, pihak pendakwaan berusaha mengaitkannya dengan pertuduhan melalui apa cara sekali pun, hatta dengan keterangan yang tidak relevan.

Air mata Rosmah tumpah di mahkamah

Rosmah tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi prosiding bela diri kes tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

“Hakikatnya, mereka tahu bahawa kesemua pertuduhan ke atas saya adalah tidak berasas, lantas menggunakan alasan jelik sebagai sandaran utama.

“Ditambah pula dengan kesediaan Datuk Rizal Mansor bersekongkol dengan pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan palsu di Mahkamah, bagi membolehkan pertuduhan terhadapnya (Rizal) ditarik balik,” katanya.

Rosmah berkata, pihak pendakwaan menutup mata apabila wujud kesalahan dan ketidakaturan dalam proses tender Jepak Holding Sdn Bhd yang didalangi bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan dua bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Datuk Seri Alias Ahmad.

Selain itu beliau berkata, Mahdzir, Madinah, Alias, Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin dan Datuk Rizal Mansor sepatutnya diambil tindakan di atas kesalahan yang dilakukan.

Namun beliau berkata, pihak pendakwaan lebih suka untuk memanggil mereka sebagai saksi tanpa sebarang tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka.

“Mereka menunding jari kepada saya, iaitu seorang individu yang tiada jawatan dalam kerajaan dan tidak ada kuasa melulus apa-apa projek kerajaan sekali pun.

“Ini adalah perbuatan zalim dan kejam terhadap saya dan keluarga,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Sambil mengesat air mata, Rosmah berkata, ia adalah suatu ‘malicious and selective prosecution’ (pendakwaan berniat jahat dan terpilih) terhadapnya.

Mohamed Zaini: ‘Are you ok? (Awak OK?)

Rosmah: ‘I’m sorry Your Honour, I’ve gone through a lot’ (Saya minta maaf Yang Arif, saya telah melalui banyak perkara).

Sebelum ini, Rosmah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 hingga 7 September 2017.

Perbicaraan bela diri di hadapan Mohamed Zaini bersambung esok.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/165487/BERITA/Semasa/Rosmah-menangis-ketika-beri-keterangan-di-mahkamah

BACA JUGA : Panas !!! Rauf dedah Umno minta sokongan DAP sebelum kerajaan Melaka tumbang

COMMENTS

Wordpress (0)