Ahmad Faizal terkilan dengan tindakan Umno

Ahmad Faizal terkilan dengan tindakan Umno

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terkilan dengan tindakan beberapa ‘rakan’ Ahli-ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan sekumpulan Ahli Parlimen berkenaan adalah bagi meneruskan agenda politik demi kepentingan peribadi.

Tegasnya lagi, tindakan itu sekali gus menolak keutamaan kepada sebarang usaha untuk mengurus dan menyelesaikan masalah yang lebih penting dihadapi negara ketika ini.

ahmad

“Saya menyokong penuh kepimpinan Kerajaan kini yang sentiasa menjaga kepentingan rakyat yang memerlukan pembelaan dalam berdepan situasi kritikal dan berpendapat ini bukan masanya untuk bertindak demi kepentingan diri sendiri.

“Rakyat ternyata muak dan bosan dengan senario politik negara. Lebih mengecewakan apabila ada dalam kalangan Ahli Parlimen terbabit, sanggup memperjudikan nasib rakyat demi kelangsungan karier politik mereka tanpa sedetik pun mendahulukan kesejahteraan negara, dalam menangani pandemik yang melanda,” katanya lagi.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, surat akuan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan.

Media melaporkan semalam sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen dari UMNO telah menandatangani Surat Akuan Bersumpah (SD), antaranya Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), dan Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit).

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/153697/BERITA/Politik/Ahmad-Faizal-terkilan-tindakan-UMNO-seolah-olah-tolak-kepentingan-negara

BACA JUGA : Ketegasan saya tak campur kes mahkamah kurang disenangi ‘mereka’, kata Muhyiddin