Ahli Pas dakwa mampu “tangkap” Covid-19 masuk botol

Ahli Pas dakwa mampu “tangkap” Covid-19 masuk botol

Seorang perawat yang juga penyokong Pas mendakwa mampu memulihkan pesakit yang dijangkiti pandemik koronavirus baharu (Covid-19).

Pengasas Akademi Rawatan Islam Nur Ehsan (AKRINE), Abdul Majid Hasan berkata, beliau berjaya mengurung sementara virus wabak itu di dalam bekas berisi air.

Dakwanya, bekas air berisi virus yang telah menjangkiti 2,470 rakyat Malaysia setakat semalam itu tidak membeku walaupun dimasukkan ke dalam penyejuk beku.

“Saya telah menangkap dan mengurung (bukan selamanya) convid-19 (sepatutnya: Covid-19) ke dalam botol.

“Botol ini saya isi air. Saya simpan dalam freezer bersama dengan botol air lain yang kosong dari Covid-19.

“Selama tempoh 5 hari, botol berisi Covid-19 tidak membeku sedangkan botol air biasa beku dalam tempoh 6 jam,” ujarnya di Facebook atas nama Abdul Majid Hasan.

Dalam video berdurasi 1 minit 20 saat itu, beliau dilihat ‘menangkap’ virus Covid-19 dengan mengucapkan Allahuakbar sebanyak enam kali dari kedua-dua belah tangan seorang individu.

Selepas enam kali berbuat demikian, Abdul Majid menyeru, “jika masih ada Covid-19 di tangan, turunnn…”

Selepas kedua-dua tangan individu yang didepangkan ke hadapan itu masih boleh digerak-gerakkan ke bawah, perawat itu menyambung kembali usaha ‘menangkap’ virus itu dengan proses sama.

Selepas enam kali menyebut Allahuakbar, Abdul Majid seolah-olah memasukkan ‘makhluk’ yang berjaya ditangkapnya ke dalam botol sebelum diakhiri dengan gerakan seperti menutup bekas itu.

Terdahulu, beliau yang dikatakan memiliki latar pengajian Fizik Nuklear dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut memuat naik sedutan dua rakaman video ringkas lain.

Dalam siri pertamanya, Abdul Majid meletakkan kapsyen, “Menarik Covid-19 dari Hospital Sungai Buloh” manakala video kedua bertajuk, “Covid 19 Siapa yang lebih mudah diserang.”

Sumber : https://malaysiadateline.com/ustaz-pas-yakin-mampu-tangkap-kurung-covid-19/