Ahli Parlimen ada 222 orang sahaja, sekolah lagi ramai – Pejuang

Ahli Parlimen ada 222 orang sahaja, sekolah lagi ramai – Pejuang

Alasan-alasan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk Parlimen tidak bersidang dilihat remeh.

Demikian tegas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam satu kenyataan hari ini yang ditandatangani oleh Ketua Peguam Pejuang, Mior Nor Haidir.

Mereka berkata bahawa jumlah Ahli Parlimen yang terlibat dalam persidangan hanya seramai 220 orang manakala pembukaan sekolah-sekolah dan premis-premis perniagaan telah melibatkan jutaan orang.

“Kami melihat bahawa ketiadaan persidangan Parlimen sehingga ke hari ini adalah dengan jelas mencerminkan kebimbangan pihak kerajaan berkenaan kelangsungan kuasa politiknya,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, mereka turut berpandangan bahawa kenyataan Takiyuddin yang menyamakan pengisytiharan darurat pada 1969 dan darurat pada 2021 adalah tidak tepat.

“Proklamasi darurat pada tahun 1969 dibuat atas nasihat oleh seorang Perdana Menteri yang memiliki kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada ketika itu.

“Proklamasi Darurat 1969 adalah lanjutan daripada rusuhan kaum dan bertujuan untuk menyelamatkan negara dan bukannya jawatan seseorang Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

Mereka mendakwa bahawa perintah ketika itu berbeza daripada Proklamasi Darurat 2021 yang dilakukan atas nasihat seorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan Ahli-Ahli Parlimen.

Hari ini, Takiyuddin dalam sidang media memberitahu bahawa tiada keperluan untuk Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.

Beliau berkata persidangan Parlimen akan diputuskan oleh Jemaah Kabinet berdasarkan keadaan semasa dalam negara sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Istana Negara pada 24 Februari lalu menyatakan bahawa Parlimen boleh bersidang pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/alasan-untuk-parlimen-tidak-bersidang-adalah-remeh-pejuang-285947