AHLI KOHILAL DIAJAK LUPAKAN KISAH LAMPAU

Duit yang dilaburkan dalam Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (Kohilal) ketika zaman kejatuhannya sebelum ini tidak pernah luput dari senarai pemegang saham.

Pengerusinya, Mustapa Salleh berkata, pihaknya yang baru mengambil alih Kohilal cuba sedaya mungkin untuk membayar semula jumlah saham pelabur mengikut kemampuan.

Katanya, beliau bersama pengurusan baharu Kohilal kini giat membangunkan semula koperasi itu agar dapat memberi manfaat kepada ahli dan pemegang saham.

Beliau turut mengajak ahli agar melupakan kisah lampau yang melanda Kohilal ketika itu, sebaliknya sama-sama bangkit untuk terus bangun dan memajukan koperasi.

“Kami tahu risiko yang kami hadapi sebaik mengambil alih koperasi ini, tetapi kami tidak mahu jadikan itu alasan. Kami akan bangkit.

“Tambahan pula Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memberi kata-kata motivasi kepada Kohilal bahawa tidak ada manusia yang jatuh tidak akan bangun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian (MOU) Kempen Beli Produk Muslim antara Kohilal dengan Gerakan Ummah (Ummah) dan Abata di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Abata, Mohd Izat Ismail.

Mengenai saham ahli, Mustafa menjelaskan, pihaknya kini berusaha untuk menambah sumber pendapatan dengan menumpukan pemasaran produk muslim ke seluruh negara.

Kata beliau, jika koperasi beroleh keuntungan, maka dividen akan diagihkan termasuk kepada ahli lama walaupun ada antaranya sudah meninggal dunia.

“Bagi ahli yang telah meninggal dunia, dividen itu akn diberikan kepada waris terdekat. Kita mempunyai data lengkap mereka.

“Walaupun pengurusan baharu ambil alih, nama ahli dan jumlah saham mereka tetap ada dalam senarai kita,” katanya.

Menurut Mustafa, jumlah ahli Kohilal di seluruh negara kini kira-kira 18,000 orang yang melibatkan pelbagai profesion termasuk usahawan yang menghasilkan produk muslim. – MalaysiaGazette

Sumber :

Kohilal janji bayar balik saham ahli