Agong titah buka parlimen segera, mana suara Presiden Pas?

Agong titah buka parlimen segera, mana suara Presiden Pas?

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini dilihat masih belum mengulas titah Yang di-Pertuan Agong berhubung saranan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu sebaliknya menulis artikel bertajuk ‘Lapangan Krisis’.

Ahli Parlimen Marang berkenaan bercerita tentang kedudukan geografi Timur Tengah yang menjadi penghubung tiga benua manakala Malaysia pula terletak di timur dunia Islam.

Disebabkan kedudukan itu, katanya, Timur Tengah menjadi medan pertembungan sejak zaman dahulu dan medan dua Perang Dunia pada abad yang lalu.

“Maka setiap Muslim itu tidak boleh ditakfirkan dengan mudah dan sesuka hati disebabkan kejahilannya,” kata Abdul Hadi menutup tulisannya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Susulan itu, rata-rata warganet yang membanjiri ruangan komentar di laman sosial itu mempersoal di mana artikel panjang Abdul Hadi berkenaan perlunya menyegerakan persidangan Parlimen.

Hal ini memandangkan, dia yang dikenali dengan panggilan “Ayah Chik” itu dilihat kerap mengulas isu terutama berkaitan kepentingan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Selain menyokong inisiatif Pemerkasa+ bernilai RM40 bilion, Ayah Chik menerusi Minda Presiden pada 14 Jun lalu menulis artikel panjang bertajuk, “Terpenting adil: Sistem khilafah atau beraja?”

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal berkenaan mengecam pihak tertentu yang mempertikaikan sistem pemerintahan beraja dan kedudukan Raja-raja di negara ini.

Dia menegaskan mereka yang cuba merungkai sistem beraja wajib ditentang habis-habisan kerana mereka laksana makhluk perosak, tikus yang membaiki labu.

Oleh sebab itu, orang ramai bertanyakan mengapa Abdul Hadi masih belum mengupas pandangan yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong susulan Sesi Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu hampir 4 jam di Istana Negara semalam.

“TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) tak sokong titah Agong? Tunjuk teladan yang baik kepada anak buah walaupun titah tersebut kadang-kadang tidak selari dengan selera kita,” nasihat Addin.

Hal sama juga dibangkitkan Mohd Syukri yang berpendapat sepatutnya hari ini Abdul Hadi mengulas titah Seri Paduka Baginda.

“Bukan cerita hal Timur Tengah,” katanya manakala seorang lagi pengguna Facebook menulis, “Apa hang (Abdul Hadi) mengarut ni. Tuanku suruh Parlimen bersidang, hang dok mengarut timur, utara, selatan, barat. Tak faham bahasakah? Sibuk pasal masalah sendirilah, bukan alih perhatian.”

Berita  Penuh :https://malaysiadateline.com/ayah-chik-tak-ulas-titah-agong-buka-segera-sidang-parlimen/