Agong beri perkenan darurat di Sarawak disambung . Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak perlu diisytiharkan untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi mengelakkan penularan Covid-19 menjadi lebih serius.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, dengan Proklamasi Darurat itu, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa kecuali jika darurat ditamatkan lebih awal.
“Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 21 Julai lalu telah bersetuju untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak setelah darurat yang berkuat kuasa pada masa ini berakhir pada 1 Ogos lepas.
“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenankan Proklamasi Darurat bagi seluruh negeri Sarawak yang akan mula berkuat kuasa pada 2 Ogos 2021 hingga 2 Februari 2022,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, Proklamasi Darurat yang berakhir pada Ahad, 1 Ogos 2021 akan diteruskan di Sarawak hingga 2 Februari 2022.
Satu proklamasi baharu telah dipersetujui Seri Paduka Baginda pada Khamis lalu dan diterbitkan dalam warta kerajaan malam tadi.
Namun proklamasi tersebut akan terlebih dahulu dibentangkan di Parlimen berdasarkan peruntukan Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/07/31/proklamasi-darurat-di-sarawak-elak-penularan-lebih-serius/