Agihan kerusi PRU15 : PN guna kaedah faraid, parti paling tua dapat lebih

Agihan kerusi PRU15 : PN guna kaedah faraid, parti paling tua dapat lebih

Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan kaedah faraid untuk pengagihan kerusi Parlimen sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ini bermakna parti yang paling lama akan mendapat kerusi terbanyak, sekali gus PAS bakal memperoleh jumlah kerusi tertinggi untuk ditandingi pada PRU-15 berbanding parti lain dalam PN.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata kaedah faraid dalam menentukan jumlah kerusi setiap parti dalam PN itu akan digunakan pada perbincangan fasa terakhir pengagihan kerusi Parlimen nanti.

Katanya, setakat ini perbincangan pengagihan kerusi membabitkan PAS dan BERSATU serta beberapa parti lain dalam PN baru memasuki fasa pertama yang turut meneliti isu pertukaran calon bertanding kali ini.

“Pada peringkat ini, saya dimaklumkan jawatankuasa pengagihan hanya membincangkan soal kerusi yang mampu dimenangi setiap parti dalam PN,” katanya selepas program mesra dengan peserta Go Fit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Fitness di Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Program Go Fit PPR Hiliran Fitness dirasmikan Ketua Penerangan Badan Pimpinan BERSATU negeri, Badrulhisham Mohamed @ Shafie.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri mengakui, perbincangan pertama turut membabitkan pertukaran calon yang akan bertanding pada PRU-15.

“Bukan semua ahli Parlimen daripada PAS dan BERSATU akan kekal bertanding kerusi dimenangi pada PRU lalu.

“Kajian untuk memastikan kemenangan setiap calon daripada PN di setiap kerusi Parlimen akan dilakukan pada perbincangan fasa kedua pengagihan kerusi,” katanya.

Mengulas jumlah pengagihan kerusi untuk PAS, BERSATU dan parti lain dalam PN, Razali yang juga Ketua Bahagian BERSATU Marang berkata, belum tiba masanya perbincangan terarah kepada pengagihan jumlah kerusi pada setiap parti.

“Walaupun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Presiden BERSATU, tetapi tiada desakan untuk mendapatkan kerusi lebih, sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa rundingan membuat keputusan.

“Soal pengagihan jumlah kerusi kepada setiap parti bukan keutamaan, sebaliknya semua kerusi ditandingi calon PN memenangi kerusi dengan jumlah majoriti yang lebih banyak,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/805557/pn-guna-kaedah-faraid-pengagihan-kerusi-pru-15