Agihan kerusi dimenangi Bersatu Johor akan dibuat sesama PH secara ‘adik beradik’

Agihan kerusi dimenangi Bersatu Johor akan dibuat sesama PH secara ‘adik beradik’

Sebanyak 18 kerusi Dewan Undangan Negeri ( DUN) Johor yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibahagikan secara ‘adik-beradik’ bersama tiga parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) Johor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sebuah jawatankuasa pengagihan kerusi DUN antara Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat ( PKR) juga telah ditubuhkan di peringkat negeri.

“Pengagihan 56 kerusi DUN di Johor masih dalam perbincangan di peringkat PH negeri. Kerusi DUN yang dahulunya ditandingi Bersatu pada PRU14 dianggap sebagai kerusi yang dikosongkan.

“Oleh itu 18 kerusi tersebut boleh ditandingi mana-mana parti komponen PH Johor, cuma keputusannya parti yang bertanding akan ditentukan secara perbincangan terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar sempena Kempen Tamat Darurat di Pejabat Amanah Johor di Kangkar Pulai pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha DAP Johor, Tan Hong Ping dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Dalam pada itu, Salahuddin berharap PH Johor menyelesaikan pembahagian kerusi secepat mungkin sebagaimana yang dilakukan pada PRU14 lalu.

“Johor sepatutnya menjadi contoh PH kuat di negeri ini. PH Johor telah buktikan pada PRU14 lalu, di mana negeri ini merupakan negeri terawal berjaya memutuskan pembahagian kerusi secara muafakat membuktikan PH Johor bersedia bersama dengan rakan komponennya menghadapi musuh iaitu kerajaan Perikatan Nasional ( PN) pada PRU15,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/129532/BERITA/Politik/Bekas-kerusi-Bersatu-di-Johor-akan-diisi-komponen-PH