Adun Rahang kembali bersama DAP

Adun Rahang Mary Josephine Prittam Singh yang mengumumkan keluar dari DAP pada 10 Julai lalu, hari ini, mengumumkan bahawa beliau menarik semula keputusan itu.

Sebelum ini, Mary memaklumkan bahawa beliau berhasrat untuk terus kekal sebagai wakil rakyat yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Dalam sidang media khas pagi tadi, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke berkata Mary telah menarik balik keputusan peletakan jawatan daripada DAP.

“Dengan suka citanya saya nak mengisytiharkan bahawa Adun DUN Rahang saudari Mary Josephine telah menarik balik peletakan jawatan dari parti DAP.

“Pada 10 Julai, beliau telah mengadakan satu sidang akhbar menyatakan bahawa beliau meletak jawatan ataupun keluar dari DAP.

“Tetapi selepas itu saya telah pun mengadakan sidang akhbar dan menghantar surat kepada beliau meminta untuk mempertimbangkan semula dan menarik balik peletakan jawatan itu.

“Pemimpin-pemimpin DAP telah membuat kenyataan terbuka serta menghantar mesej dan membuat panggilan meminta untuk kembali ke parti di mana beliau sudah berada 46 tahun.

“Pada Jumaat yang lalu saya telah bertemu dengan beliau di Kuala Lumpur dan beliau bersetuju untuk menarik balik peletakan jawatan,” kata Anthony dalam sidang media itu yang diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Seremban.

Terdahulu, pada 10 Julai, Mary mengumumkan keluar DAP, tetapi terus kekal sebagai wakil rakyat yang menyokong Pakatan Harapan (PH).

Mary dengan penuh emosi sebelum ini berkata dia telah berulang kali diketepikan dari proses membuat keputusan.

Tetapi, hari ini beliau memberitahu bahawa berhasrat untuk menarik balik keputusan meninggalkan parti selepas menerima sokongan daripada pemimpin DAP dan pengundi DUN Rahang untuk mempertimbangka balik keputusan tersebut.

“Saya kembali bersama DAP kerana ia menyakiti untuk meninggalkan DAP.

“Tapi, yang lebih menyakiti adalah bagi saya melihat merindukan sesuatu yang saya sayang dan mempercayai selama 46 tahun.

“Terima kasih kepada DAP Malaysia kerana mempertimbangkan peletakan jawatan saya dan menerima semula saya ke dalam parti ini.

“Saya akan kembali menerima semua jawatan yang saya pegang di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Turut hadir, veteran DAP Lim Kit Siang sebagai tanda sokongan kepada Mary.

‘Surat letak jawatan tak diterima’

Sementara itu, Anthony yang juga ahli parlimen Seremban berkata bahawa terdapat ura-ura pihak BN cuba menarik Mary menyertai BN.

“Tetapi, saya sangat yakin beliau tidak akan berbuat demikian.

“Bagi saya dia tidak pernah keluar DAP. Itu sebab saya kata surat peletakan jawatan beliau tidak pernah diterima,” katanya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)