Adun Pas Kelantan meninggal dunia

Adun Pas Kelantan meninggal dunia

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Dr Md Yusnan Yusuf, 53 disahkan meninggal dunia pada jam 2.28 pagi di kediamannya di Melor, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan salah seorang anaknya, Mohd Auzaie dalam hantaran di Facebook.

“Dukacita dimaklumkan bahawa baba Dr Yusnan Albadar telah pergi menghadap Ilahi pada pukul 2.28 pagi.

“Solat jenazah akan diadakan pada pukul 2 petang bertempat di masjid Ketereh. Mohon kepada semua untuk patuhi SOP.

“Mohon doakan arwah ditempatkan di kalangan para solihin,” katanya.

Harakahdaily memetik Setiausaha Dun Melor, Tanazi Ariffin sebagai berkata, allahyarham terjatuh awal pagi tadi ketika bangun dari tidur sebelum sempat ke bilik air.

Katanya, sebelum ini allahyarham pernah mendapat rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob mewakili kepimpinan kerajaan negeri dan PAS Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham.

Menurutnya, allahyarham yang juga timbalan exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri dilantik sebagai Adun Melor sejak tahun 2013.

“Allahyarham merupakan bekas pembantu profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pernah berkhidmat sebagai pakar pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco,.

“Selepas dilantik sebagai timbalan exco, beliau berusaha menggerakkan secara aktif jawatankuasa pengkajian Enakmen Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak enakmen-enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dun Kelantan.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, allahyarham memenangi kerusi Dun Melor dengan majoriti 647 undi, menewaskan calon Umno, Azmi Ishak dan calon PKR, Ab Aziz Ab Kadir.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/572752