Adun Maharani positif Covid-19, namun telah jalani kuarantin kendiri sejak awal

Adun Maharani positif Covid-19, namun telah jalani kuarantin kendiri sejak awal

Pihak PKWR ADUN Maharani mengambil maklum penularan mesej tentang status kesihatan YB ADUN Maharani, YB Puan Hajah Nor Hayati Bachok, yang turut mendedahkan maklumat peribadi beliau dan keluarga.

Pihak kami telah mengenalpasti individu yang mula menyebarkan mesej tersebut dan telah membuat laporan polis serta bakal kami susuli dengan tindakan undang-undang. Pihak kami menggesa masyarakat menghentikan penyebaran maklumat peribadi beliau dan keluarga yang bercanggah dengan undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.

Sejurus kembali dari Sabah pada 26 September 2020, beliau telah menjalani ujian saringan pertama dan didapati negatif. Walaupun tiada sebarang arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kuarantin atau pengasingan, YB Puan Hajah Nor Hayati sendiri telah mengambil inisiatif kuarantin kendiri di rumah dan mengasingkan diri.

Beliau telah menjalani ujian saringan kedua pada 4 Oktober 2020 dan menyambung pengasingan kendiri sehingga dimaklumkan keputusannya pada 5 Oktober 2020.

Pihak kami berdukacita dengn perkhabaran bahawa beliau didapati positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan. Namun begitu, beliau sentiasa mematuhi segala arahan KKM dan pihak kami sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam mencegah penularan.

Pihak kami sekali lagi menegaskan bahawa sejak hari pertama kembali sehingga 5 Oktober 2020, YB Puan Hajah Nor Hayati Bachok telah mengamalkan kuarantin kendiri di rumah atas inisiatif sendiri serta tidak hadir ke mana-mana program di luar dan tidak bertemu rakyat.

Semua kontak rapat kepada beliau telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Muar, telah menjalani ujian saringan dan sedang menanti keputusan dalam masa terdekat. Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan terus menghubungi sesiapa yang berkontak rapat dengan beliau untuk menjalani saringan.

Pihak kami memohon maaf kepada semua yang terkesan walaupun segala langkah kuarantin di rumah dan pencegahan telah dipatuhi sepanjang tempoh ini.

Sekali lagi, kami menggesa agar warga Maharani tidak panik dengan mesej-mesej yang tular, sebaliknya sentiasa mendapatkan informasi sahih daripada pihak KKM sahaja.

Pihak kami menyeru masyarakat menghentikan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada beliau dan keluarga untuk melalui ujian ini dengan tenang. Kami memohon agar semua warga Maharani mendoakan kesihatan dan kesejahteraan YB Puan Hajah Nor Hayati Bachok agar dapat terus berkhidmat dan berbakti kepada seluruh rakyat.

Terima kasih.

Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) ADUN Maharani

6 Oktober 2020

COMMENTS