Adly minta rakyat Melaka bertenang

Adly minta rakyat Melaka bertenang

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari menyeru rakyat Melaka supaya bertenang dan mematuhi undang-undang susulan ketidaktentuan keadaan politik semasa di negeri itu.

“Kita berharap masyarakat bertenang dengan suasana politik di peringkat negara dan negeri,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bangunan Seri Negeri, di sini hari ini.

Beliau turut terharu dengan sokongan yang diberikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap kepimpinannya.

“Saya ucapkan terima kasih terhadap himpunan itu dan diharapkan ia dibuat dalam keadaan aman dan mematuhi undang-undang.

“Saya (juga) ucapkan terima kasih kepada rakan NGO dan petadbir kerajaan atas sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Terdahulu, kira-kira 500 penyokong daripada tujuh NGO berkumpul bagi menyatakan sokongan penuh dalam himpunan Solidariti Adly Zahari di hadapan bangunan kerajaan negeri itu.

Adly tiba di hadapan bangunan berkenaan pada jam 9 pagi sebelum menghabiskan kira-kira 10 minit untuk bermesra dengan peserta himpunan berkenaan.

Sementara itu Adly menjelaskan bahawa beliau akan bertemu Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagaimana kelaziman sebelum beliau mempengerusikan mesyuarat EXCO hari ini.

Jelasnya, antara perbincangan itu adalah bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai keadaan negeri.

“Biasanya kita akan maklumkan perkembangan terkini negeri bagi memastikan bahawa pentadbiran negeri dapat dilaksanakan dengan baik.

“Kita harapkan di peringkat pentadbiran negeri terus memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya.

Continue Reading