Adik beradik pemilik MR DIY tersenarai bilionair Forbes ke-35

Adik beradik pemilik MR DIY tersenarai bilionair Forbes ke-35

Senarai bilionair Forbes ke-35 menyaksikan empat muka baharu dari Malaysia mengungguli senarai tahun ini meskipun dunia berdepan pandemik COVID-19.

Ia masing-masing melibatkan adik beradik Tan dari MR D.I.Y Group (M) Bhd iaitu Tan Yu Yeh dan Tan Yu Wei; Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd, Tan Sri G Gnanalingam serta pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee.

Nilai kekayaan bersih Yu Yeh dianggarkan kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala Yu Wei dianggarkan AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Bagi Gnanalingam pula, Forbes ke-35 menganggarkan nilai kekayaan bersih dimiliki ahli perniagaan itu adalah kira- kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion).

Sementara, Eng Kee yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).

Bagaimanapun secara keseluruhan, Forbes ke-35 menyenaraikan pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan sebagai bilionair paling kaya di negara ini dengan nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion).

Ini diikuti oleh T Ananda Krishnan (AS$5.8 bilion); dan pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow (AS$5.7 bilion).

Turut disenaraikan adalah bilionair sarung tangan iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya (AS$3.9 bilion) serta pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai (AS$3.5 bilion).

Bilionair lain dari Malaysia termasuk Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay (AS$2.7 bilon) dan hartawan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (AS$1.2 bilion)

Di peringkat global, Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Jeff Bezos kekal sebagai individu terkaya di dunia dengan nilai bersih AS$177 bilion (RM730 bilion).

Senarai bilionair Forbes 2021 menamakan 2,755 individu, termasuk 493 pendatang baharu.

Menerusi senarai tersebut, jumlah jutawan wanita meningkat kepada 328 orang berbanding 241 pada 2020.

Berikut senarai 10 individu terkaya di peringkat global:

1. Ketua Pegawai Eksekutif Amazon Jeff Bezos
Kekayaan bersih: AS$177 bilion (RM730 bilion)

2. Pemilik Tesla, Elon Musk
Kekayaan bersih: US$151 bilion (RM623 bilion)

3. Peruncit mewah Bernard Arnault dan keluarga
Kekayaan bersih: AS$150 bilion (RM618 bilion)

4. Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates
Kekayaan bersih: AS$124 bilion (RM511 bilion)

5. Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg
Kekayaan bersih: AS$97 bilion (RM400 bilion)

6. Ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett
Kekayaan bersih: AS$96 bilion (RM396 bilion)

7. Ketua Pegawai Teknologi dan pengasas Bersama Oracle, Larry Ellison
Kekayaan bersih: AS$93 bilion (RM384 bilion)

8. Larry Page
Kekayaan bersih: AS$91.5 bilion (RM378 bilion)

9. Saintis komputer dan usahawan internet Amerika Syarikat (AS), Sergey Brin
Kekayaan bersih: AS$89 bilion (RM367 bilion)

10. Pengarah urusan dan pemegang saham terbesar Reliance Industries Ltd, Mukesh Ambani
Kekayaan bersih: AS$84.5 bilion (RM349 bilion)

Berita penuh : https://www.astroawani.com/gaya-hidup/empat-orang-kaya-baharu-malaysia-tersenarai-forbes-ke35-292123