Adham akui ada kes kesan sampingan serius selepas suntikan vaksin

Adham akui ada kes kesan sampingan serius selepas suntikan vaksin

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui terdapat penerima vaksin yang mengalami kesan advers selepas imunisasi (Adverse Event Following Immunization, Aefi), namun ia hanya sementara.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam sidang media hari ini mengesahkan bahawa mereka menerima laporan kes Aefi, tetapi menegaskan bahawa tidak ada pesakit yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

“Kita memang dapat laporan daripada penerima vaksin sama ada Pfizer, Sinovac, atau AstraZeneca melalui laporan mereka, ataupun mereka isi dalam MySejahtera.

“Mereka hadir sendiri ke hospital untuk kes-kes yang mengalami Aefi serius. Setakat ini kita dapati mereka tak perlu untuk memanjangkan rawatan di hospital atau mereka tak perlu duduk di hospital lama. Sementara saja,” katanya.

Adham ditanya mengenai kes seorang pekerja kemudahan kesihatan swasta di Kedah, yang disyaki mengalami strok ringan setelah mengambil dos kedua vaksin Covid-19.

Pembantu jururawat berusia 20-an itu menyiarkan dua laporan hospital, termasuk satu yang menghubungkan kesnya dengan Aefi.

Menurut Adham, kes seperti itu tidak mustahil, namun menegaskan bahawa ia tidak bersifat kekal.

“Kita dapat nyatakan di sini untuk kes-kes yang disebutkan tadi seperti minor stroke, itu ialah transient ischemic attack.

“Maknanya perkara ini boleh berlaku. Bagaimanapun ia tak berlaku dengan waktu yang lama. Dan apa yg kita lakukan, kita rayu penerima yang ada kes-kes punyai kecenderungan untuk dipantau atau diletakkan pengawasan pakar di hospital.

“(Ini agar) tak payah macam kalau berlaku kes-kes di rumah, mereka tunggu dan lihat. Kita perlu mereka untuk hadir (di hospital) buat pemantauan sekiranya ada kaitan dengan pemberian vaksin,” kata Adham.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/574174