Ada ‘sampah bersih’ yang diizinkan masuk ke negara kita, kata Menteri

Ada ‘sampah bersih’ yang diizinkan masuk ke negara kita, kata Menteri

Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan kemasukan sisa berbentuk sampah termasuk bahan kitar semula yang tidak mengikut peraturan ke Malaysia, susulan kemasukan kontena berisi barang dagangan sisa plastik dari Amerika Syarikat akhir bulan lalu.

Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dasar kerajaan tidak akan membiarkan Malaysia menjadi negara tong sampah dunia.

“Dasar kita ialah tak akan jadikan Malaysia sebagai negara tong sampah dunia, saya tegaskan Malaysia tidak perlu jadi tong sampah dunia.

“Kita harap mana-mana sisa yang dihantar termasuk sisa kita semula yang tidak ikut peraturan akan dihantar semula,” katanya pada sidang media selepas Majlis Cabutan Undi Perdana Kerja-kerja di bawah peruntukan Kasa bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Pada masa sama, dia berkata ada sisa yang dibenarkan seperti plastik bersih untuk industri kitar semula, yang menurutnya mengikut kod yang ditetapkan pihak bertanggungjawab.

Anggota Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu kebenaran kontena dari Amerika Syarikat mengandungi barang dagangan sisa plastik jenis polietilena yang dikatakan bersih untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Perkara itu mengundang reaksi negatif di media sosial dengan rata-ratanya mengkritik tindakan kerajaan yang menerima sisa tersebut.

Bagaimanapun Kasa sebelum ini menjelaskan sisa plastik tersebut adalah bersih, bersifat homogenous dan memenuhi kriteria yang telah disyaratkan dalam lesen import sisa plastik (approved permit atau AP) kepada pengimport.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, pihaknya bersama agensi berkaitan sememangnya memantau kemasukan kapal tersebut di Pelabuhan Klang.

“Kita minta pihak pelabuhan hentikan kontenanya, dan kita buat pemeriksaan, dan ternyata yang ada dalam kontena itu tidak sebagaimana yang digembar-gemburkan.

“Jadi apabila pihak yang mengimport ikut peraturan, dan tidak ada sisa yang kotor seperti yang digambarkan.

“Kita memang tegaskan bahawa kita dah hantar beratus kontena (sampah) termasuk ke Amerika. Apabila mereka langgar peraturan kita tak akan kompromi, tapi apabila mereka ikut peraturan kita tak boleh sekat sebab ikut prosedur,” jelasnya.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/569434