Ada pihak ugut MP pembangkang tukar sokongan, umpan habuan- Saifuddin

Ada pihak ugut MP pembangkang tukar sokongan, umpan habuan- Saifuddin

Wujud langkah-langkah terancang yang sedang diusaha pihak-pihak tertentu untuk melemahkan kekuatan wakil rakyat terutama ahli-ahli parlimen pembangkang termasuk dari kalangan PKR, dakwa Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.

“Ini sedang dilakukan dengan pendekatan ugutan dan umpan habuan samada berkait isu cukai pendapatan, siasatan polis dan SPRM atau melalui tawaran projek dan jawatan dalam GLC,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, setiausaha agung PKR itu tidak menjelaskan secara terperinci ‘pihak tertentu’ yang didakwanya itu.

Tegas Saifuddin, PKR mengecam langkah terdesak untuk membuatkan wakil rakyat PKR “keluar parti menjadi bebas atau menyertai parti kerajaan,” sama ada melalui ugutan mahupun habuan.

“Ahli-ahli parlimen PKR harus berpegang teguh kepada prinsip perjuangan dan semangat reformasi, serta sentiasa beringat bahawa rakyat menilai setiap tindakan kita dan siap membalasnya pada Pilihanraya Umum ke-15 kelak,” katanya.

Menurut Saifuddin langkah ini berlaku tatkala kerajaan sedia ada sudah hilang sokongan majoriti di parlimen dan dalam keadaan sidang parlimen boleh diadakan sewaktu darurat berkuatkuasa.

“Pada masa yang sama, jelas di mata ramai bahawa kerajaan kini sudah tidak mampu menyelesaikan pelbagai masalah rakyat, sama ada berkait pendidikan, pekerjaan, mahupun kesihatan awam,” dakwanya lagi.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah pada 24 Feb bertitah parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat perdana menteri.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikritik kerana mengusulkan perisytiharan darurat pada 12 Jan selepas didakwa tidak lagi memiliki sokongan majoriti anggota parlimen.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, MP Machang Ahmad Jazlan Yaakub dan MP Padang Rengas Nazri Aziz telah mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Ramai pihak, termasuk pembangkang menggesa supaya sidang parlimen diadakan segera.

Apatah lagi, sewaktu hubungan Umno dan Bersatu dikatakan bermasalah dan umpama retak menanti belah.

Ia selepas mesyuarat MT Umno pada Jan lalu membuat keputusan menamatkan kerjasama dengan Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun Umno masih gagal mengabsahkan keputusan berkenaan selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang dijadualkan hujung bulan lalu dibatalkan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Walaupun, PN dikatakan hilang majoriti apabila ahli parlimen Umno itu menarik sokongannya tetapi sesetengah pihak mendakwa belum tentu lagi kesepakatan ahli parlimen pembangkang kekal utuh sehingga membolehkan pembentukan kerajaan baru.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/564551