Ada hospital swasta buat duit dengan Covid-19

Ada hospital swasta buat duit dengan Covid-19

Hospital swasta diminta tidak mengambil kesempatan untuk menangguk untung besar semata-mata ketika negara sedang menghadapi keadaan pandemik Covid-19 yang semakin serius dan membimbangkan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye mendedahkan, terdapat hospital swasta berbuat demikian dengan mengenakan caj tinggi bagi merawat pesakit dijangkiti virus maut itu.

Beliau berkata, sepatutnya hospital swasta meringankan beban pesakit Covid-19 menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) masing-masing dan bukannya mengenakan caj tinggi yang amat membebankan.

“Diharapkan semua pihak tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan besar ketika pandemik.

“Sangat menyedihkan apabila diberitahu bahawa sesetengah institusi perubatan swasta mengenakan caj yang tinggi untuk merawat pesakit Covid-19 yang ingin dirawat di hospital mereka.

“Terdapat kes pesakit Covid-19 yang diletakkan di hospital swasta dikatakan terpaksa membayar jumlah yang sangat membebankan. Ini tidak sewajarnya berlaku khususnya ketika musim pandemik ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menyuarakan kekecewaannya kerana senario itu berlaku dalam tempoh negara menghadapi krisis kesihatan.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menjadikan penularan Covid-19 sebagai lubuk emas bagi meraih keuntungan dengan caj melampau.

Sehubungan kes jangkitan di negara ini yang menunjukkan trend peningkatan saban hari pula, beliau menyarankan supaya rakyat perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

“Dengan situasi pandemik yang dilihat semakin serius dan membimbangkan, rakyat tiada pilihan. Kekalkan disiplin, terus patuhi SOP dan mengurang pergerakan di luar.

“Saranan bukan semata-mata untuk menurunkan kes jangkitan harian, malah bagi memastikan bebanan yang dipikul sistem kesihatan negara dapat dikurangkan.

“Dikhabarkan pada ketika ini, kapasiti wad untuk Covid-19 sudah menghampiri 91 peratus.

“Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, kes dicatatkan melebihi 6,000 kes ke atas setiap hari dengan jumlah kematian dalam anggaran 50 orang sehari,” katanya.

Katanya, setiap anggota masyarakat yang kekal mematuhi SOP adalah harapan terhadap kakitangan kesihatan supaya sistem kesihatan dan perubatan tidak lumpuh sekiranya terlalu banyak kes Covid-19.

“Peningkatan jumlah pesakit Covid-19 akan menyebabkan hospital akan menghadapi kekurangan fasiliti dan tenaga kerja untuk merawat pesakit.

“Kita tidak mahu negara ini menghadapi nasib yang sama teruk seperti dihadapi beberapa negara seperti India, Nepal dan Itali.

“Untuk itu, kerjasama semua adalah sangat diperlukan untuk menghadapi pandemik ini,” katanya.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/709170/covid-19-ada-hospital-swasta-kaut-untung-kenakan-caj-melampau