Nasib pekerja Malaysia di Singapura perlu perhatian susulan PKP

Nasib pekerja Malaysia di Singapura perlu perhatian susulan PKP

Saya mengambil maklum pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sebentar tadi mengenai penutupan semua sekolah dan tempat kerja (kecuali perkhidmatan penting) di Singapura bermula 7 April 2020 bagi tempoh selama sebulan.

Gesaan saya sebelum ini agar Kerajaan Negeri Johor tidak U-turn terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau untuk tidak membuka kembali pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura ternyata ada asasnya terutamanya dalam usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

Namun pengumuman terbaru kerajaan Singapura mengakibatkan rakyat Malaysia yang bekerja dan kini masih di Singapura akan terkandas tanpa boleh bekerja dan dalam keadaan bantuan tempat tinggal di sana telah dihentikan.

Maka, saya menggesa kerajaan Malaysia meneliti keperluan bagi membenarkan rakyat Malaysia di Singapura untuk pulang ke Malaysia.

Namun, mereka yang kembali perlulah melalui proses saringan yang ketat dan kuarantin wajib selama 14 hari sekembalinya ke Malaysia.

Mereka perlulah di tempatkan di Pusat-pusat Kuarantin yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia.

Sekiranya terdapat keterbatasan tempat-tempat kuarantin sedia ada, Kerajaan perlu meneliti aset-aset Kerajaan sedia ada seperti dewan raya dan sekolah-sekolah untuk dijadikan pusat kuarantin baru.

Komunikasi dan pengarahan kepada mereka yang melalui proses kembali dari Singapura ke Malaysia perlulah dibuat dengan jelas dan teratur bagi mengekalkan penjarakkan sosial (social distancing).

Ini amat penting bagi memastikan keberhasilan PKP yang telah dikuatkuasakan di Malaysia sehingga hari ini tidak terjejas.

Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan wajar menilai kembali Pakej Prihatin Nasional agar ianya lebih inklusif.

Ini termasuk menjamin kebajikan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan memberikan bantuan kewangan bagi mereka yang menerima gaji harian dan bergaji bawah RM4,000 sebulan.

Sekian, terima kasih.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua AMK Malaysia

Berita penuh :https://thepartikeadilanrakyatnegerijohor.wordpress.com/2020/04/03/persiapan-hadapi-kesan-kawalan-pergerakan-di-singapura/