Abu Zahar buat sidang media esok, beri penjelasan kenyataan sebelum ini

Abu Zahar buat sidang media esok, beri penjelasan kenyataan sebelum ini. Sidang akhbar Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ditangguhkan pada Selasa (esok).

Abu Zahar ketika dihubungi pada Isnin bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci sebab penangguhan berkenaan, sebaliknya hanya memaklumkan ia akan dibuat pada hari berikutnya.
“Esok 11 Januari, Selasa (sidang akhbar akan dibuat),” katanya menerusi kiriman WhatsApp pada Isnin.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Abu Zahar akan membuat satu sidang akhbar jam 11 pagi pada Isnin bertempat di ibu pejabat SPRM, Putrajaya bagi menjelaskan kenyataannya membabitkan isu pemilikan jutaan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang didakwa tidak dipersetujui oleh enam ahli LPPR lain.

Kata Abu Zahar, beliau tidak mempunyai apa-apa perkara yang ingin disembunyikan dan atas sebab itu lagi sidang akhbar akan dibuatnya bagi menyatakan pendirian beliau dan menjawab semua perkara yang dibangkitkan.

Pada Rabu, Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam berhubung dakwaan beliau memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Menurut Abu Zahar, hasil penjelasan yang dibuat Azam, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

Kenyataan Abu Zahar itu bagaimanapun disanggah enam ahli LPPR yang lain dan mendakwa kenyataannya berhubung dakwaan pemilikan saham dan kepentingan dalam syarikat oleh Azam Baki adalah pendapat peribadi pengerusi lembaga penasihat itu.

Dalam satu kenyataan mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, mereka menyatakan, ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian sama seperti Abu Zahar.

BACA JUGA : Azam Baki tak perlu bercuti, kata PM
Isu Azam Baki : Pas mahu siasatan atau sudah berpuas hati ?
MP PKR tegur akaun Azam bukan macam akaun Shopee, sekali Shopee masuk komen

Artikel ini disiarkan pada 10/01/2022