97% individu dewasa di Labuan lengkap vaksin, sasar 100% menjelang 31 Ogos

Sebanyak 97% atau 66,448 individu dewasa di Wilayah Persekutuan ini melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 mereka setakat semalam, berbaki lima hari lagi ke arah mencapai 100% imuniti kelompok menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos.

Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail, berkata sekurang-kurangnya 2,052 orang diperlukan bagi mencapai sasaran 100% imuniti kelompok menjelang akhir bulan ini.

“Melihat kepada jumlah kehadiran harian yang melebihi 200 hingga 300 orang bagi mendapatkan suntikan dos kedua di pusat pemberian vaksin (PPV), kami amat optimis mampu mencapai imuniti kelompok menjelang akhir bulan ini, dengan syarat jumlah mereka yang gagal hadir bagi vaksinasi dos kedua tidak tinggi.

97% individu dewasa di Labuan lengkap vaksin, sasar 100% menjelang 31 Ogos

 Labuan menjadi Wilayah Persekutuan pertama yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara bermula esok susulan kadar vaksinasinya yang tinggi dan jumlah kes Covid-19 rendah. (Gambar Bernama)

“Satu lagi sejarah bakal tercipta jika Labuan berjaya mencapai 100% imuniti kelompok menjelang Hari Kebangsaan pada 31 Ogos,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, susulan peratusan tinggi penduduk yang sudah divaksin, CITF menutup lima PPV dan mengekalkan dua sahaja iaitu PPV di Kolej Matrikulasi Labuan serta PPV di Komplek Darul Kifayah.

“Kami menyasarkan untuk mencapai 95% kadar vaksinasi bagi dos kedua menjelang akhir Ogos dan kami gembira apabila peratusannya melepasi jumlah itu sejak beberapa hari lepas,” katanya.

Rithuan turut mendedahkan bahawa masih ramai penduduk yang menerima suntikan dos pertama namun gagal hadir untuk mendapatkan dos kedua atas alasan berada jauh dari Labuan (pekerja sektor perkapalan serta minyak dan gas), sedang memulihkan kesihatan dan pulih daripada jangkitan Covid-19 serta hamil.

Beliau juga berkata, CITF yang diterajui Jabatan Kesihatan Labuan kini sedia menawarkan vaksin itu kepada golongan belia berumur 16 dan 17 tahun, bergantung kepada kelulusan kerajaan persekutuan.

“Kami sudah memiliki satu program vaksinasi bagi golongan belia dalam kategori usia ini, bagaimanapun masih terdapat isu teknikal berhubung surat kebenaran sebelum kita boleh meneruskannya,” katanya.

Labuan menjadi Wilayah Persekutuan pertama yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara bermula esok susulan kadar vaksinasinya yang tinggi dan jumlah kes Covid-19 yang rendah.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/25/labuan-sambut-merdeka-dengan-100-imuniti-kelompok/

BACA JUGA : Lelaki terkejut dapat kunci rumah dari Agong