7 daripada 132 penumpang dari India positif Covid-19, KKM panjangkan tempoh kuarantin ke 21 hari

7 daripada 132 penumpang dari India positif Covid-19, KKM panjangkan tempoh kuarantin ke 21 hari

Kementerian Kesihatan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada 21 hari untuk individu yang dibawa pulang dari India, selepas tujuh daripada 132 penumpang itu disahkan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu penerbangan misi bantuan kemanusiaan dan bencana membawa pulang 132 orang dari India, termasuk 117 warganegara Malaysia, lapan warga Brunei, empat rakyat Denmark, dua warga India dan seorang rakyat Indonesia, pada 12 Mei lalu.

“Misi ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT-PCR negatif saja,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun semua penumpang itu tiada gejala, beliau berkata, mereka menjalani ujian RT-PCR sekali lagi sebaik mendarat di KLIA dan tujuh daripada 132 penumpang itu disahkan positif Covid-19 dengan kadar positiviti 5.3%.

Katanya, Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi itu dan membuat penilaian risiko untuk melihat keperluan melanjutkan tempoh kuarantin dari 14 hari kepada 21 hari bagi semua penumpang lain yang akan tiba dari India.

Putrajaya memutuskan untuk membawa pulang rakyat Malaysia dan warga Brunei, susulan lonjakan kes Covid-19 di India baru-baru ini yang merekodkan 300,000 kes harian sejak April lalu.

Hisham berkata, sekatan sedia ada bagi penumpang warga asing dari India ke Malaysia masih berkuat kuasa.

Beliau menggesa rakyat memberi kerjasama dalam mengekang kemasukan varian baharu dari India, iaitu B.1.617 yang dilaporkan lebih cepat menular dan menyebabkan gejala lebih serius, termasuk dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke bawah.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/14/individu-dibawa-pulang-dari-india-perlu-dikuarantin-21-hari/