500 pelajar Parlimen Parit Buntar terima bantuan data internet daripada Mujahid

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar telah memulakan usaha menyalurkan bantuan data internet bersasar khusus untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT)/IPTS dan pelajar SPM tahun 2021.

Seramai 500 pelajar di Parlimen Parit Buntar yang mengikuti kelas secara atas talian akan menerima manfaat melalui pakej ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, bermulanya sesi persekolahan dan sidang akademik yang baharu, kesukaran dan kerunsingan ibubapa dan pelajar dalam penyediaan fasiliti pembelajaran atas talian menjadi semakin ketara.

“ Masalah pembelajaran atas talian ini turut memberi kesan kepada pelajar-pelajar di Parit Buntar terutamanya , pelajar dari golongan kurang berkemampuan

“ Ibu bapa terpaksa menyediakan fasiliti seperti kamputer riba dan gajet, masalah capaian internet dan kos data internet yang membebankan” katanya semasa menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah kepada pelajar di Telok Pial, Kuala Kurau

Dr Mujahid menyampaikan bantuan kelengkapan sekolah kepada Ahmad Afiq Fikran Ahmad Asri, 11 dan Ahmad Azim Fikri Ahmad Asri,9 di rumah mereka di Telok Pial.

Dr Mujahid berkata, menyedari akan tanggungjawab sosial dan keperihatinan terhadap golongan yang terkesan dan memerlukan bantuan, satu pakej bantuan data internet bersasar telah ditawarkan kepada pelajar IPT/IPTS dan pelajar SPM tahun 2021.

“ Kami telah berusaha mencari dana untuk melaksanakan pakej bantuan top up data internet bernilai RM30 sebulan, untuk tempoh 2 bulan kepada 500 pelajar.

“ Walaupun tidak mampu menawarkan pakej bantuan ini kepada semua pelajar rendah dan menengah di Parit Buntar, sekurang-kurangnya ada 500 pelajar yang menerima manfaat ini” katanya

Beliau berharap bantuan sebegini akan terus menghidupkan harapan pelajar untuk terus berjaya dalam bidang pengajian masing-masing

“ Di kesempatan ini, saya ingin mengajak seramai mungkin masyarakat terutama golongan korporat untuk turut serta menyuburkan semangat membantu pelajar yang kurang berkemampuan

“ Kepada para dermawan, mari bersama kami, agar lebih ramai akan mendapat manfaat dari pakej bantuan internet bersasar ini” katanya

COMMENTS

Wordpress (0)