4-0 dibelasah UAE di Dubai, Harimau Malaya terpaksa akur

4-0 dibelasah UAE di Dubai, Harimau Malaya terpaksa akur

KESILAPAN mudah menyebabkan skuad Harimau Malaya terpaksa akur tewas 0-4 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel, Dubai sebentar tadi.

Lebih malang, kekalahan itu menyaksikan Harimau Malaya yang sebelum ini berada di kedudukan kedua, jatuh ke tangga keempat dalam saingan peringkat Kumpulan G.

Ia sekali gus menyaksikan pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu perlu mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terakhir menentang Vietnam dan Thailand untuk mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

Kemenangan ke atas Vietnam pada Sabtu ini diikuti Thailand empat hari kemudian juga dilihat mampu membuka peluang buat Harimau Malaya dalam misi sekurang-kurangnya layak ke Piala Asia 2023.

Dalam aksi di Stadium Zabeel itu, Harimau Malaya perlu mengakui banyak kesilapan mudah yang dilakukan menyebabkan mereka bolos empat gol bermula jaringan pertama UAE menerusi Ali Ahmed Mabkhout pada minit ke-18.

Aksi Harimau Malaya sepanjang 45 minit separuh masa pertama dilihat cukup mengecewakan terutama di bahagian tengah yang diketuai Liridon Krasniqi dan situasi tersebut berterusan pada awal babak kedua.

Kegagalan barisan pertahanan terus menjadi punca apabila membenarkan pemain naturalisasi UAE, Fabio Virginio De Lima menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-82.

Dua lagi gol UAE selepas itu juga hasil kesilapan benteng pertahanan yang menyaksikan Mabkhout dan De Lima meledak jaringan ketiga serta keempat dalam tempoh dua minit masa kecederaan perlawanan.

Hasrat Harimau Malaya untuk meraih gol sagu hati tidak kesampaian apabila tandukan pemain kacukan negara yang berpangkalan di Eropah, Dion Cools berjaya diselamatkan penjaga gol UAE, Ali Khaseif pada hujung perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Harimau Malaya jatuh ke tangga keempat, dipintas UAE dan Thailand yang seri 2-2 dengan Indonesia dalam satu lagi aksi Kumpulan G yang berlangsung sebentar tadi.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/06/04/harimau-malaya-hilang-ngauman-kena-belasah-uae-4-0-di-dubai/