3 hari lagi dapatkan surat kebenaran MITI sebelum Polis bertindak

Orang awam dan syarikat diberi tempoh tiga hari hingga Khamis ini bagi mendapatkan surat terkini daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kebenaran bekerja serta beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata ketika ini, pihaknya memberi kelonggaran dan tidak akan mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak yang menggunakan surat kebenaran lama.

“Kita beri peluang tiga hari itu selaras dengan arahan dikeluarkan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

“Selepas tempoh itu, kita tidak akan berkompromi lagi dan akan mengeluarkan kompaun terhadap mereka yang tiada surat berkaitan untuk menjalankan operasi dan melalui sekatan jalan raya.

“Kita harap masyarakat faham kerana penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari Sekatan Pergerakan Penuh bermula hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu daripada MITI.

Acryl Sani dipetik berkata, surat kebenaran pergerakan dikeluarkan MITI ketika PKP sebelum ini tidak boleh diguna pakai lagi dan mereka perlu membuat permohonan baharu.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/823145/3-hari-dapatkan-surat-kebenaran-miti

COMMENTS

Wordpress (0)