23 pekerja Pos rider kecewa ditamat kontrak waktu kritikal

23 pekerja Pos rider kecewa ditamat kontrak waktu kritikal

Seramai 23 pekerja Pos Rider Melaka meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Pos Malaysia Bhd. (Pos Malaysia) membuang pekerja dalam tempoh kritikal, malah, gagal memberikan notis pemberhentian perkhidmatan selama 14 hari seperti ditetapkan dalam kontrak.

Menurut salah seorang Pos Rider, Muhammad Yusuf Ashraf Ali, 25, mereka hanya menerima notis tersebut pada malam 21 Jun lalu yang memaklumkan kontrak kerja akan ditamatkan pada 1 Julai, hari ini.

Katanya, seramai 23 Pos Rider menerima notis yang sama dan kini bukan sahaja hilang punca pendapatan, namun, terpaksa menanggung hutang gara-gara membeli van bagi menjalankan perkhidmatan tersebut.

“Dalam surat itu sendiri ada menyebut mengenai tempoh pemberhentian berkuatkuasa iaitu selepas 14 hari notis, namun, kami menerimanya pada 21 Jun dan mempunyai sembilan hari untuk mencari kerja baru.

pos rider

“Kami sangat kecewa dengan tindakan Pos Malaysia kerana bukan sahaja membuang kami dengan notis singkat, malah, tergamak melakukannya pada waktu kami bergelut untuk teruskan kehidupan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di hadapan Hub Pos Laju Ayer Keroh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf turut meluahkan, dia buntu untuk mencari jalan penyelesaian kerana masih belum mendapat peluang pekerjaan baharu, malah, masih dibebani hutang van yang dibelinya itu.

“Ramai yang berani membuat keputusan untuk membeli van dan menanggung hutang kerana yakin dengan peluang diberikan. Tidak sangka sekarang kami dibuang begitu sahaja hanya kerana mereka mendakwa barang semakin susut.

“Saya kini perlu membayar hutang van dan isteri pula tengah sarat mengandung anak sulung kami. Saya minta agar Pos Malaysia pertimbangkan semula keputusan mereka, setidaknya buanglah kami selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh kami merantau ke luar mencari rezeki untuk keluarga,” pintanya sayu.

Sementara itu, Muhammad Naim Ghani, 29, turut meluahkan perkara sama dan mendakwa mereka sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan dan imej Pos Malaysia dengan memastikan syarikat penghantaran berkenaan kekal relevan.

“Kami tidak pernah menimbulkan sebarang masalah, malah, sentiasa menjaga kualiti perkhidmatan Pos Rider dan imej Pos Malaysia.

“Justeru, kami berharap sangat agar Pos Malaysia mengambil kira semua aspek termasuk kesetiaan ditunjukkan kami selama ini,” katanya.

 

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2021/07/pekerja-pos-rider-melaka-minta-tangguh-penamatan/

BACA JUGA : Gempar !!! Angin perubahan di Putrajaya bertiup kencang