2019: tampuk kepimpinan negeri Perak diuji

Belum sampai setahun mentadbir kerajaan negeri Perak, kepimpinan Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah mula dilanda kontroversi apabila timbul desas desus mengenai ada komplot cuba menggulingkan Pengerusi Bersatu Perak itu dari teraju kepimpinan negeri.

Khabar angin itu berlarutan sehingga pada 17 April lepas, tular rakaman audio didakwa suara seorang exco kerajaan negeri mengikritik prestasi Ahmad Faizal, dan terbaharu, pada 14 Nov lepas, tular lagi rakaman video berdurasi kira-kira lima minit, memaparkan exco yang sama berbual dengan beberapa individu kononnya mahu menggulingkan menteri besar.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) iaitu Dr Abdul Aziz Bari, yang merupakan Naib Pengerusi DAP Perak dikaitkan sebagai individu berkenaan, namun Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu menafikannya.

Kontroversi yang bermula sejak tahun lepas itu berlarutan sehingga hujung tahun ini, dan ia dijangka akan terus mewarnai pergolakan politik negeri di tahun 2020 nanti.

Selain itu, Menteri Besar Perak turut berhadapan dengan tuntutan agar kerajaan negeri memberikan hak milik tanah selama 999 tahun untuk Kampung Baru di Perak, namun ia tidak langsung menggugat kesabaran dan ketenangan ADUN Chenderiang itu, yang terus ‘cool’ dan meminta semua pihak supaya berhenti daripada mempolemikkannya.

Sikap tenang dan tidak mudah melatah Ahmad Faizal menarik perhatian Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa apabila baginda memuji Menteri Besar Perak itu semasa Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak sempena Hari Keputeraan ke-63 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, 10 Nov lalu.

Dalam titah yang padat dengan teguran, Raja Jaafar secara terang terangan menegur tindakan beberapa wakil rakyat yang cuba mendapatkan kuasa berdasarkan komposisi dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Pasca pilihan raya Umum ke-14, Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, Amanah, PKR dan Bersatu menduduki 29 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak (DUN), menjadikan ia tidak memperoleh majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, ADUN Barisan Nasional (BN) Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) kemudiannya memilih untuk menyertai Bersatu, manakala Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah) menjadi ADUN Bebas, tetapi menyokong PH, sehingga membolehkan pakatan itu membentuk kerajaan negeri.

Tahun 2019 juga melakar sejarah tersendiri buat Perak amnya dan Ipoh khususnya apabila bandaraya itu dijadikan sebagai pintu gerbang kepada kawasan tengah Semenanjung Malaysia, susulan pelancaran Pelan Pembangunan Bersepadu Stesen Keretapi Ipoh.

Disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah pada bulan Okt lepas, pelan yang dijangka siap dalam tempoh 10 hingga 15 tahun itu merupakan projek usahasama antara kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan Kementerian Pengangkutan menerusi Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggar RM5 bilion.

Menerusi pelan itu, kawasan seluas 78 hektar di sekitar stesen Ipoh dan jajaran kereta api di Ipoh telah dikenal pasti bagi mewujudkan sebuah daerah di mana pembangunan dirancang adalah berorientasikan transit.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, melalui pelan pembangunan itu juga kawasan seluas 27.5 hektar bakal dibangunkan secara bersepadu dan diintegrasi dengan hab pengangkutan.

“Pembangunan di kawasan ini dipecahkan mengikut segmen tertentu merangkumi perumahan termasuk rumah mampu milik, hotel, institusi pendidikan, komersial, kawasan hijau dan bercampur bagi memastikan pembangunan ini seimbang dan komprehensif,” katanya.

Pemilihan bandaraya Ipoh dilakukan dengan mengambil kira kewujudan Stesen Keretapi Ipoh sejak 1917, yang juga dikenali dengan jolokan Taj Mahal Ipoh kerana reka bentuknya, dan apabila siap kelak ia akan membawa pelbagai limpahan sosio ekonomi untuk warga Perak.

Seperti yang dinyatakan oleh Ahmad Faizal, beberapa unit Rumah Perakku bakal dibangunkan kawasan sekitar Stesen Keretapi Ipoh selain pangsapuri kos sederhana dan mewah bagi mewujudkan pilihan pemilikan kediaman kepada rakyat.