2 lagi laporan polis di buat ke atas Pesuruhjaya PAS Melaka

Selepas lima laporan polis dibuat semalam terhadap Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek, yang didakwa memfitnah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) serta kerajaan negeri, hari ini Amanah Kawasan Jasin dan NGO Amal Relief Jasin juga membuat laporan polis yang sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Melaka.

Ketua AMANAH Jasin, Tuan Hj Yuhaizad Abdullah berkata laporan terbabit dibuat berikutan ceramah oleh Kamaruddin di Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah, baru-baru ini yang juga disiarkan secara langsung di facebook PAS Negeri Melaka.

“Dalam ceramah itu, pesuruhjaya PAS Melaka membuat kenyataan berhubung isu pelantikan jawatankuasa masjid dan isu tabung masjid dan kenyataan dibuatnya tidak tepat dan menjadi satu fitnah yang amat serius.

“Dia (Kamaruddin) mendakwa kutipan derma infak orang ramai di masjid akan diambil alih MAIM, sekali gus jawatankuasa masjid tidak boleh mengurus sendiri kutipan tabung.

“Selepas sebut perkara itu, dia minta media yang hadir tidak memasukkan kenyataan dalam kandungan berita kerana belum sah, sedangkan video ceramahnya dapat ditonton secara langsung menerusi Facebook,” kata Yuhaizad.

Selain itu, Kamaruddin dalam ceramah terbabit turut mendakwa jawatankuasa masjid di negeri ini sudah lapan bulan tidak berfungsi sejak diambil alih kerajaan yang baharu.

Tuduhan itu bukan sahaja berniat jahat terhadap kerajaan tetapi juga kepada MAIM dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang bertanggungjawab menguruskan masjid.

“Tempoh jawatankuasa masjid di seluruh Melaka berakhir 31 Disember lalu, dan ketika ini, pegawai syarak bertanggungjawab mengurus sementara masjid sehingga kita jangkakan jawatankuasa baharu lengkap sepenuhnya 20 Februari ini.”

Justeru, Yuhaizad berkata, pihaknya meminta pihak polis meneliti tuduhan dibuat Kamaruddin dan berharap pihak polis dapat mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Pesuruhjaya PAS itu.

#TolakFItnah
#MelakaBerwibawa