2 ahli parlimen belot dipecat keahlian PKR, tindakan undang-undang bakal diambil

2 ahli parlimen belot dipecat keahlian PKR, tindakan undang-undang bakal diambil

Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil keputusan untuk memecat Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong sebagai anggota Keadilan berkuatkuasa serta merta selepas kedua-dua Ahli Parlimen itu menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan media pada Ahad.

“Keadilan memohon maaf kepada para pengundi di Julau dan Tebrau di atas sikap dua Ahli Parlimen yang telah membuat tindakan keluar parti hari ini.

“Majlis Pimpinan Pusat juga telah membuat keputusan hari ini untuk memecat YB Larry Sng, Ketua Cabang Julau, dan YB Steven Choong, Ketua Cabang Tebrau, sebagai anggota Keadilan dengan serta-merta.

“Jentera Keadilan di kedua-dua cabang tersebut diminta melipat gandakan usaha mendampingi rakyat, menyelesaikan isu dan masalah, serta bersiap sedia mengambil semula kerusi-kerusi ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak,” katanya.

Jelasnya lagi, Majlis Pimpinan Pusat juga telah berbincang bagaimana tindakan mahkamah akan diambil terhadap kedua Ahli Parlimen yang telah bertanding di atas tiket Keadilan telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti.

“Majlis Pimpinan Pusat juga telah membincangkan tindakan mahkamah yang telah dan akan diambil terhadap mereka yang telah bertanding di atas tiket Keadilan tetapi telah mengkhianati mandat rakyat dan keluar parti,” katanya lagi.

Tambah Saifuddin lagi, ketika wabak COVID-19 masih merebak dan ekonomi negara terus suram, namun darurat jelasnya digunakan sebagai alasan mengekalkan kuasa kerajaan yang telah hilang sokongan majoriti.

Ia bagi memberi masa mendapatkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen melalui ugutan mahupun tawaran jawatan dan habuan katanya lagi.

“Walaupun dengan pengkhianatan dua Ahli Parlimen hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu sedar bahawa majoriti Ahli-Ahli Parlimen sudah tidak lagi bersama beliau.

“Beliau sepatutnya tidak lagi berusaha untuk mengekalkan Kerajaan yang lemah ini, tetapi meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” jelas Saifuddin.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/pkr-pecat-keahlian-larry-sng-steven-choong-sertamerta-kaji-tindakan-mahkamah-285262