1MDB kes mahkamah paling mencuri tumpuan pada 2019

Perbicaraan dan kes berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi kes mahkamah yang paling mencuri tumpuan pada 2019.

Ini termasuk perbicaraan  Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd bermula pada 3 April dan berakhir pada 27 Ogos 2019 dengan pihak pendakwaan menutup kes selepas sebanyak 57 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 11 Nov lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali memerintahkan Najib, 66, untuk membela diri terhadap tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukannya berkaitan dana 1MDB selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Pada 3 Dis, buat pertama kalinya dalam sejarah negara seorang bekas perdana dihadapkan ke mahkamah atas beberapa pertuduhan.

Memberi keterangan dari kandang saksi sebagai saksi pertama pihak pembelaan,  Najib memberitahu kisah di pihaknya untuk menyangkal tujuh pertuduhan berhubung dakwaan menyelewengkan dana SRC.

Prosiding yang ditunggu-tunggu itu menyaksikan Najib, yang mengangkat sumpah dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, membacakan kenyataan saksinya setebal 243 muka surat dan kemudian diperiksa balas oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Ahli Parlimen Pekan itu memilih untuk kebanyakannya menjawab dalam bahasa Melayu walaupun Thomas mengajukan soalan dalam bahasa Inggeris.  Hanya sekali sekala, Najib, menjawab dalam bahasa Inggeris.

Perbicaraan kedua Najib membabitkan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan faedah bagi dirinya berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama, yang bermula pada 28 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Setakat hari ini, sebanyak sembilan saksi telah memberi keterangan, dengan seorang daripada saksi utama iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa dana kekayaan berdaulat negara itu merupakan syarikat strategik bagi Najib.

Shahrol Azral, saksi kesembilan pihak pendakwaan berkata 1MDB adalah bodoh apabila membayar US$1 bilion untuk memperoleh 40 peratus kepentingan dalam Petro Saudi Holdings (Cayman) Ltd, anak syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI), manakala PSI hanya menyuntik US$108 juta untuk mendapat 60 peratus kepentingan.

Perbicaraan ketiga Najib dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandsamy atas pertuduhan meminda laporan audit akhir 1MDB menarik perhatian orang ramai selepas mahkamah diberitahu bahawa salinan asal laporan audit 1MDB ada disimpan oleh Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad.

Satu-satunya salinan laporan 1MDB itu, yang tidak dimusnahkan, kini menjadi bukti penting dalam perbicaraan itu.

Selain menyimpan laporan itu, Nor Salwani juga secara rahsia merakamkan mesyuarat peringkat tinggi yang melibatkan ketua setiausaha negara, dengan arahan untuk meminda laporan audit 1MDB didakwa dikeluarkan.

Tahun 2019 juga menyaksikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan sejumlah RM4.901 juta dan RM100,000, yang didakwa dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, yang dirampas masing-masing daripada Yayasan Permata Malaysia, dan daripada  akaun bank bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek, diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Pada 19 Julai lepas, sejumlah RM48.9 juta dalam akaun bank bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali Jho Low, telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Pada 26 Nov, ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusof memulangkan RM3,683,117.94, yang didakwa dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB, kepada kerajaan Malaysia.

Pada 13 Dis, dana berjumlah RM407,011.46 dalam akaun bank yayasan penyelidikan, Yayasan Penyelidikan Transformasi, juga telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Awal tahun ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengumumkan bahawa saman pelucutan hak sivil telah difailkan terhadap 41 responden dalam usaha untuk mendapatkan semula dana kira-kira RM270 juta yang didakwa diselewengkan daripada dana 1MDB.

Mahkamah Kuala Lumpur juga menyaksikan percubaan beberapa tokoh berprofil tinggi termasuk bekas menteri didakwa atas pertuduhan rasuah, jenayah pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram.

Mereka termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Perbicaraan rasuah Ahmad Zahid melibatkan dana Yayasan Akalbudi bermula 18 Nov, dengan mahkamah diberitahu bahawa beliau membayar hampir RM1.3 juta untuk empat kad kreditnya antara Januari 2014 dan Januari 2016, termasuk membeli-belah barangan mewah di Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Itali, United Kingdom, Korea Selatan, Ukraine, Australia, Hong Kong, Vietnam, Indonesia, China dan Kuala Lumpur.

Turut didedahkan bahawa Ahmad Zahid dan isterinya Datin Seri Hamidah Khamis mempunyai 20 buah kenderaan, termasuk tiga unit Toyota Vellfire, Lexus LX 460, Toyota Land Cruiser, Honda Odyssey, Chrysler Jeep Wrangler, BMW 320i (A) , AUDI Q7, dan Mercedes Benz CLS 350.

Presiden UMNO itu juga menghadapi 40 pertuduhan rasuah lain  berkaitan dengan sistem visa luar negara (VLN) yang difailkan di mahkamah Shah Alam dan kes berkenaan sedang menunggu untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Pada 14 Okt, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri terhadap pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong tiga tahun lepas.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Mahkamah menetapkan 10, 17, 20 dan 21 Jan tahun depan untuk Tengku Adnan menyangkal pertuduhan terhadapnya.

Bekas menteri itu juga dibicarakan atas pertuduhan lain iaitu menerima RM1 juta sebagai rasuah untuk membantu permohonan syarikat bagi menambah nisbah tapak pembangunan di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohd Isa dibicarakan bagi satu pertuduhan CBT dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta berhubung dengan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Kes-kes lain yang menjadi tajuk utama termasuk seorang promoter jualan yang didakwa memandu dengan cuai sehinggakan menyebabkan kemalangan jalan raya, dan mengakibatkan lapan remaja yang menunggang basikal maut di Johor pada 2017.

Bagaimanapun, Majistret Siti Hajar Ali, pada 28 Okt lepas, membebaskan dan melepaskan Sam Ke Ting, 24, tanpa dipanggil membela diri,  berdasarkan beberapa faktor, termasuk bahaya yang ditimbulkan oleh penunggang basikal itu sendiri, kerana mereka menggunakan basikal atau “basikal lajak” yang telah diubah suai.

Dalam insiden pada 18 Feb itu, Sam, yang memandu Nissan Almera, merempuh sekumpulan remaja itu sehingga menyebabkan lapan terbunuh iaitu Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhan, 16; Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14; Haizad Kasrin, 16; Muhammad Shahrul Nizam Maruddin, 14; Fauzan Halmijan, 13; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14; Mohamad Azhar Amir, 16; dan Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14.

Lapan budak lelaki yang lain turut cedera dalam insiden itu.

Satu lagi perbicaraan berprofil tinggi yang juga mendapat perhatian orang ramai adalah kes pembunuhan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan.

Isteri Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, dan dua remaja lelaki berumur 17 tahun dan 14 tahun didakwa bersama seorang wanita Indonesia yang masih bebas,  membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam, 13 Jun, 2018, dan 4 pagi, 14 Jun, 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan dalam kenyataan pembukaan mereka pada 6 Sept, memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa mereka akan membuktikan kematian Nazrin adalah disebabkan dibunuh  dan bukan disebabkan oleh kebakaran.

Ini susulan  hasil bedah siasat kedua yang dijalankan tiga bulan selepas kematian Nazrin yang mendapati mangsa mati akibat pukulan objek tumpul di kepala.