18,000 ‘kubur loket’ ditemui di Arab Saudi, apa rahsia tersembunyi disebaliknya?

18,000 ‘kubur loket’ ditemui di Arab Saudi, apa rahsia tersembunyi disebaliknya.Baru-baru ini, pengkaji arkeologi dari University of Western Australia menemui rangkaian jalan perkuburan di wilayah-wilayah gurun sekitar Semenanjung Tanah Arab. Kesemua 18,000 kubur yang ditemui dikatakan wujud sejak Zaman Gangsa atau lebih tepat, 4,500 tahun.

Rangkaian jalan perkuburan ini menjangkau sehingga ribuan batu menerusi tinjauan pasukan pakar sekitar al-Ula dan Khaibar, Arab Saudi. Kubur-kubur ini terdiri daripada timbunan batu kecil sebagai penanda seseorang atau kumpulan kecil individu dikebumikan. Kubur-kubur ini turut dikenali sebagai kubur loket kerana bentuknya menyerupai barang kemas yang diikat pada rantai.

Selain berperanan sebagai laluan ke kawasan-kawasan perkuburan lama, ia turut berperanan sebagai koridor penyambung oasis dan padang rumput bagi pengembala kambing biri-biri dan unta. Daripada 18,000 buah kubur yang ditemui, hanya 80 sahaja yang diekskavasi atau diambil sampel. Ada yang percaya sesetengah kubur ini berperanan sebagai memorial bagi mengingati orang yang telah tiada atau untuk tujuan ritual yang tidak diketahui.

18,000 'kubur loket' ditemui di Arab Saudi, apa rahsia tersembunyi disebaliknya?

Rangkaian jalan perkuburan ini dikesan menerusi imej-imej satelit, gambar udara yang diambil dari helikopter, tinjauan lapangan dan ekskavasi. Bagi penulis kajian Dr Matthew Dalton, beliau percaya kawasan ini diketahui oleh penduduk tempatan sejak ribuan tahun lalu. Tetapi skala sebenar rangkaian jalan ini hanya diketahui menerusi imej-imej yang diambil daripada satelit.

Tambah Dr Dalton lagi, rangkaian jalan perkuburan ini merupakan lebuh raya utama yang digunakan penduduk ketika itu. Kewujudan rangkaian laluan ini menunjukkan penduduk Semenanjung Tanah Arab mempunyai kesalinghubungan ekonomi dan sosial yang lebih erat pada era tersebut – satu perkara yang mengejutkan komuniti arkeologi.

Antara oasis-oasis utama yang menjadi tumpuan penduduk ketika itu ialah oasis sekitar Khaibar, Tayma dan al-Ula. Jalan-jalan yang tidak menonjol akan diserap kembali menjadi sebahagian daripada persekitaran. Ini menunjukkan laluan ini digunakan oleh pengembala haiwan domestik ke padang rumput berhampiran selepas hujan turun.

Tambah Dr Dalton, kawasan oasis sebegini merupakan kawasan di mana kepadatan kubur-kubur lama ini tertumpu. Dengan bilangan kubur Zaman Gangsa yang dibina sekitarnya, ini menunjukkan populasi ketika itu sudah mula menetap secara kekal di kawasan sebegini. Kesemua dapatan pasukan Dr Dalton diterbitkan dalam jurnal The Holocene.

BACA JUGA : Pelajar Malaysia di Scotland teruja jumpa MyVi di sana, terus selfie
Anak jadi kurang ajar? Ini 5 kesilapan ibu bapa yang jadi punca
Terperangkap dalam sistem saliran, tikus gergasi ini didakwa jadi punca banjir

CATEGORIES