140 sokongan ahli parlimen untuk bentuk kerajaan stabil

Perdana Menteri yang baharu memerlukan sekurang-kurangnya sokongan 140 Ahli Parlimen jika mahu bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan mengelak kemelut politik sama berulang.

Sokongan kukuh itu adalah sesuatu mendesak pada masa ini, terutama ketika negara berdepan pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara perlu digerakkan segera, dengan indikator ini hanya akan berjaya dicapai sekiranya ganggu gugat politik dapat dihentikan.

Selepas Tan Sri Muhyiddin Yasin meletak jawatannya sebagai Perdana Menteri kelapan, tumpuan kini beralih ke Istana Negara apabila Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa individu pada pandangan baginda boleh mendapat sokongan kukuh ahli Dewan Rakyat.

140 sokongan ahli parlimen untuk bentuk kerajaan stabil

Seperti diketahui, Pakatan Harapan (PH) konsisten dengan pendiriannya menamakan calon tunggalnya iaitu Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sementara Perikatan Nasional (PN) serta 23 Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menyokong Muhyiddin, bersetuju dengan cadangan untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagi UMNO pula, beberapa pemimpinnya yang dihubungi semalam memberi bayangan pencalonan vateran UMNO yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razalegh Hamzah dijangka dipersembah kepada baginda.

Sejak semalam juga, kediaman Tengku Razalegh di ibu negara dikunjungi ramai kenamaan termasuk beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pemimpin akar umbi parti itu.

Bagaimanapun, ada ura-ura juga dalam kalangan pemimpin parti itu yang memaklumkan, mengenai pencalonan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri, yang dicadangkan bekas pemimpin utama parti itu.

Namun, dalam kenyataannya malam tadi, Ahmad Zahid menyatakan tidak pernah terlintas untuk beliau menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri.

Sementara itu, pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang dihubungi turut memberi bayangan nama Presiden WARISAN yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikhabarkan turut akan dipersembah oleh parti itu kepada Agong hari ini, sebagai mewakili parti itu dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Setiausaha Agungnya, Datuk Loretto Padua ketika dihubungi tidak menafikan perkara itu, sebaliknya meminta semua pihak supaya menunggu perkembangan dari Istana Negara.

“Mungkin boleh tanya presiden (Mohd Shafie) sendiri. Saya berada di KK (Kota Kinabalu) tidak di sana (Kuala Lumpur),” katanya.

Setakat ini juga, nama bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dicalonkan mana-mana pihak, biarpun negarawan itu dikunjungi ramai pemimpin politik dari pelbagai parti di kediamannya di Seri Kembangan sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, berkata jumlah pencalonan ramai calon Perdana Menteri yang dipersembah kepada Agong menyebabkan tidak ada pihak akan memperoleh sokongan majoriti.

Katanya, ini menyebabkan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk melantik sesiapa saja yang pada hematnya boleh mendapatkan kepercayaan penuh semua parti, atau sekurang-kurangnya pemimpin yang tidak akan mencetuskan konflik sesama mereka kelak.

“Bermakna kemungkinannya juga, jika baginda perkenan, kerajaan dibentuk itu adalah sementara dan itu adalah kerajaan baginda yang diwujudkan hanya untuk menyempurnakan beberapa hal penting. Dalam kes sekarang, pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi.

“Satu juga yang utama adalah pembentangan Bajet 2022 dijadual Oktober ini, mesti diluluskan kerajaan baharu seboleh-bolehnya dengan sokongan majoriti besar kerana ini perbelanjaan penting untuk negara dan rakyat pada tahun depan,” katanya kepada BH, hari ini.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/852339/pm-baharu-perlu-sokongan-140-ahli-parlimen

BACA JUGA : Varian Lambda tidak dikesan di Malaysia – Dr Hisham