120 MP perlu berkorban untuk bentuk sebuah kerajaan yang stabil

Sejumlah 120 ahli Parlimen yang dikenal pasti menolak kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada ketika ini, perlu ‘berkorban’ menggembleng sokongan sesama mereka bagi membolehkan kelompok itu membentuk kerajaan stabil.

Perkara itu diutarakan Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang turut mencadangkan Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan untuk menasihatkan kesemua 120 ahli Parlimen berkenaan bagi menjayakan hasrat berkenaan.

Hal ini disebabkan sekiranya tiada mana-mana pihak dalam blok ahli Parlimen menolak Muhyiddin mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, Perdana Menteri itu bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh terus kekal mentadbir negara sekurang-kurangnya sehingga usul undi percaya pada sidang Parlimen, bulan hadapan.

120 ahli Parlimen yang menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri perlu berjiwa besar untuk mencari jalan agar satu kerajaan baharu yang stabil boleh dibentuk.

“Kerajaan Muhyiddin ketika ini, walaupun dianggap hilang majoriti, tetapi masih mampu bertahan sebagai kerajaan minoriti susulan tiada parti dari blok pembangkang yang mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.

“Pada saat ini, Pakatan Harapan (PH) dengan jumlah 89 ahli Parlimen sahaja tidak mencukupi untuk tubuh kerajaan baharu.

“Saranan agar Yang di-Pertuan Agong bubar Parlimen setelah Perdana Menteri letak jawatan bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan juga tidak sesuai pada saat pandemik Covid-19 semakin parah.

“Justeru, saya berpandangan 120 ahli Parlimen perlu ‘berkorban’, meletakkan kepentingan negara di hadapan dengan mencari jalan agar satu kerajaan baharu stabil boleh terbentuk,” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas krisis pentadbiran kerajaan Persekutuan dihadapi kerajaan PN ketika ini susulan Muhyiddin didakwa sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Hal ini susulan UMNO yang sebelum ini merupakan sebahagian kerajaan PN, membuat ketetapan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin pada 3 Ogos lalu.

Keputusan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen parti itu sudah mengesahkan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN.

Atas kertas, jumlah sokongan didakwa dimiliki Muhyiddin ketika ini adalah berjumlah 100 ahli Parlimen dengan jumlah ahli-ahli Parlimen yang dikatakan menolak beliau mencapai 120 orang termasuk sebilangannya daripada UMNO.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada satu parti yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membolehkan calon Perdana Menteri baharu diangkat Istana Negara bagi menggantikan Muhyiddin.

Muhyiddin sebelum ini menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan sudah menerima perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengadakan usul undi percaya di sidang Parlimen bulan September hadapan bagi menentukan keabsahan kerajaan PN.

Sekiranya Muhyiddin meletak jawatan Perdana Menteri dan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, majoriti pemimpin dan pemerhati politik tidak bersetuju sekiranya cadangan itu diperkenankan Seri Paduka Baginda.

Hal ini susulan kes jangkitan Covid-19 mencapai tahap kemuncak melewati 20,000 kes dengan keputusan mengadakan pilihan raya umum akan mengulangi implikasi negatif penularan gelombang baharu pandemik itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan pada tahun lalu.

Mengulas lanjut cadangan pembentukan kerajaan baharu yang stabil, Abdul Aziz yang juga seorang pakar perlembagaan turut menegaskan semua pihak perlu berjiwa besar memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui kerajaan berkenaan.

Hal ini kerana selaku koalisi yang mempunyai sokongan 89 ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), beliau berpendapat PH mempunyai ‘lebih kuasa kuda bagi menarik gerabak pentadbiran negara’ berbanding parti pembangkang lain.

“Dalam konteks politik semasa, UMNO yang mempunyai 15 ahli Parlimen menolak Muhyiddin tidak punyai kekuatan menerajui kerajaan. Bahkan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang hanya mempunyai bilangan 12 kerusi sesama mereka juga sama.

“Jadi kelompok ini perlu berjiwa besar memberi laluan kepada PH untuk memimpin kerajaan kerana bilangan ahli Parlimen kami lebih banyak.

“Kalau idea pengorbanan ini tidak terpakai dengan masing-masing menganggap diri mereka lebih layak menjadi Perdana Menteri, mereka seolah-olah memberi jawapan Muhyiddin masih mendapat sokongan terbanyak ahli-ahli Parlimen meskipun tidak lagi mencapai majoriti,” katanya.

Abdul Aziz turut menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan semua parti dalam kerajaan dan pembangkang atau pelantikan Perdana Menteri interim.

Jelas beliau, mana-mana parti pembangkang yang enggan bersama PH boleh cukup sekadar menyokong sahaja pembentukan kerajaan baharu dan tidak menyertainya.

“Melalui kaedah ini, kerajaan baharu yang bakal terbentuk masih lagi dipimpin PH tetapi dengan syarat pentadbirannya harus telus serta bersikap adil terhadap semua pihak termasuk parti pembangkang,” katanya.

Berita Penuh : https://premium.sinarharian.com.my/article/152929/fokus/semasa/120-mp-tolak-muhyiddin-perlu-berkorban-bentuk-kerajaan-stabil-dr-aziz-bari

BACA JUGA : Lapor kes projek RM1 Bilion babit MB Kedah, Indrani dakwa dihubungi ‘pegawai SB’