12 pekerja asing dikompaun RM1,000 kerana langgar SOP naik kenderaan

12 pekerja asing dikompaun RM1,000 kerana langgar SOP naik kenderaan

Seramai 12 pekerja warga asing sebuah syarikat pembinaan dikompaun masing-masing RM1,500 kerana melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan menaiki sebuah lori melebihi kapasiti dibenarkan, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Hoo Chang Hook, berkata semua warga Bangladesh dan India berusia 25 hingga 47 tahun serta seorang pemandu warga tempatan itu gagal mengemukakan dokumen berkaitan ketika melalui sekatan jalan raya di Kilometer 1 Jalan Rompin-Pasir Besar, Gemas, pada 5.30 petang.

Katanya, polis menahan lori berkenaan berikutan melebihi kapasiti iaitu 14 orang dalam sebuah kenderaan dan semua mereka dibawa oleh pemandu berusia 59 tahun itu bagi menjalankan kerja pemasangan sebuah menara di Kok Foh, Rompin.

“Bagaimanapun, pemandu berkenaan tidak dikompaun kerana hanya mengikut arahan majikan.

“Siasatan mendapati 12 pekerja asing itu mempunyai permit kerja sah manakala seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Pada 10 Mei lalu, kerajaan mengehadkan hanya tiga orang boleh berada dalam sebuah kenderaan termasuk pemandunya bermula 12 Mei hingga 7 Jun bagi tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

Susulan itu, Hoo berkata warga Bangladesh berusia 41 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Hoo berkata, majikan pekerja terbabit juga akan dipanggil bagi membantu siasatan dan kompaun akan dikeluarkan.

Katanya, majikan boleh dikenakan kompaun RM10,000 kerana tidak menggunakan kenderaan sesuai sehingga tiada penjarakan fizikal dalam kenderaan dan melanggar peraturan bawah Kesalahan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/18/langgar-sop-naik-kenderaan-12-pekerja-asing-dikompaun-rm1500/