Orang agama itu sepatutnya mendamaikan, tapi orang agama yang yang jadi asbab rakyat berantakkan. “Kita mahu pemimpin yang kuat macam Saddam” padahal Saddam itu diktaktor kuku besi. Mungkin sebenarnya yang hendak di sampaikan , ialah kita mahu pemimpin yang tegas, tapi tegas bukan bermakna zalim. Ada perbezaan bapa yang tegas dan bapa yang zalim. Bapa yang zalim itu kata-katanya bagai wahyu. Silap sedikit terus dapat penampar, terkhilaf terus dapat kaki, tapi itu kah yang kita mahu?
Enam puluh dua tahun bercerita pasal komunis. Tapi apa erti kemenangan ke atas komunis, kalau maksud sebenar kemerdekaan itu hilang dalam terjemahan? Apa bezanya dengan menangisi kekalahan khalifah sekurun yang lalu tapi diri masih terbaring dan kerja pun malu-malu? Hidup kena diteruskan, yang komunis pun ramai sudah menjadi penghuni bawah tanah, takkan kita masih mahu meratap cerita enam dekad lalu tapi anak bangsa kelaparan akibat prasangka? Makna kemenangan atas komunis adalah kita hendaklah menghargai nikmat perpaduan, isi dengan pembangunan dan penyatuan; tapi tiap-tiap hari bercerita pasal perpecahan. Kalau setiap hari adalah seperti medan peperangan, hari bila yang kita mahu membina negara?
Tak ramai pemimpin mahu bercakap pasal berpadu. Bila Anwar sebut kita kena tinggalkan sentimen perkauman dan mentaliti terkepung, kerana hak orang melayu sudah di jamin oleh perlembagaan; dan lebih kurang prasangka antara kaum lebih baik. Tapi apa yang bangsa ku tulis? “Anwar talam dua muka, suka berlakon, sesumpah dua alam”
Mungkin bangsaku suka bila menteri-menteri sendiri mencucuk perihal bangsa akibat gagal membaca permainan jahat oposisi, padahal ramai lagi yang marhaen yang menderita mencari sesuap nasi pagi dan petang. Ah cucuk perkauman baru enak, biar mereka lupa perut anak sendiri kelaparan.
Ceritera kaum dan bangsa memang seronok di lambung lebih lagi jika ada yang menyambung. Semuanya adalah permainan sehingga salah seorang kehilangan sebelah mata. Permainan bangsa pasti akan menjurus pada kudis prejudis. Kudis buta memang enak digaru, tiada siapa boleh sangkal. “Ah palui nya orang itu, kudis suda berdarah pun lagi mau di garu”. Rupanya-rupanya orang itu adalah refleksi diri sendiri di cerminan. Lupa melihat diri setiap pagi dicermin kerana sibuk mencari kesalahan orang lain.
Bila ada sensei mahu ubati kudis, kita prejudis. “Senyap lah apek, herba kamu mesti menipu, mesti ada unsur-unsur babi”. Bila di suruh jumpa doktor, hanya mahu doktor yang ada kriteria tertentu. Yang penting sama kiblat dan warna kulit. Kemujaraban ubat itu perkara ke dua. Jadi ramailah dukun-dukun terjunan ambil kesempatan pakai stetoskop. “Ini ubat yang mustajab, raja segala penawar. Minum 2 kali pagi dan petang “, ujar dukun sambil memegang pencuci peluntur. Bila hati sudah gelap, racun pun di anggap ubat.
Ada dai’ yang cuba menyamakan dakwah gurunya persis dakwah nabi. Tapi bila dakwah Nabi di tolak di Taif, tiada pula Nabi doakan kemusnahan pada penduduk Taif. Malahan Nabi menolak pembalasan yang Malaikat cadangkan dengan bersabda
“Aku cuma mengharapkan mereka akan mengeluarkan zuriat yang menyembah Allah suatu hari nanti dan tidak mensyirikannya dengan sesuatu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)”
Adakah nabi lemah bila baginda tidak mahu memusnahkan?
Menonton Rolet Rusia memang mengasyikkan. Lagi teruja bila bangsa dan agama jadi taruhan. “Pemenang akan dapat semua!” Kata penganjur. “Bang!” peluru terakhir di petik dari pemicu pistol.
Apa erti kemenangan jika mayat bergelimpangan selepas permainan yang tinggi taruhan?
Mohd Mukhlis Mohd Shariff